fbpx

199 institusi pendidikan islam di zon merah Seremban ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) senada dengan Kementerian Pendidikan (KPM) apabila mengumumkan kesemua 199 institusi pendidikan islam di zon merah Seremban ditutup bermula 25 Oktober hingga 9 November depan.

JHEAINS dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah penutupan tersebut membabitkan Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Kelas Agama Petang (KAP) yang beroperasi di premis KPM, Sekolah Rendah Islam yang menjalankan KAFA, Tadika Islam, Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Islam, Maahad Tahfiz, Madrasah atau pondok dan pusat pengajian yang berdaftar dengan JHEAINS.

Menurutnya, sekolah dan institusi pendidikan Islam yang mempunyai asrama juga ditutup selaras dengan pengumuman berkenaan.

“Ibu bapa dan penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang ke rumah. Murid dan pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau ingin kekal di asrama hendaklah berada di bawah penjagaan warden dan pemantauan pentadbir.

“Murid atau pelajar yang kekal di asrama tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah dan keperluan makan dan minum murid atau pelajar tersebut disediakan oleh pentadbir sepanjang tempoh penutupan,” jelas kenyataan tersebut.

JHEAINS menegaskan sepanjang tempoh penutupan berkenaan, pentadbir sekolah khususnya bagi yang menjalankan Kelas KAFA hendaklah memastikan guru-guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah.

“JHEAINS sentiasa prihatin dalam menjalankan usaha preventif bersama-sama pihak berwajib dalam menangani penularan wabak Covid-19.

“Sebarang maklumat penutupan institusi pendidikan di bawah JHEAINS akan dibuat dari masa ke masa,” katanya.

Untuk rekod, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin merupakan sekolah pertama ditutup apabila seorang pelajar tingkatan tiga positif Covid-19, Rabu lalu.

Ini diikuti Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Senawang ditutup pada Khamis apabila 33 pelajarnya didapati positif Covid-19 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Haji Adnan (DUHA) apabila seorang pelajarnya positif Covid-19.

KPM melalui satu kenyataan semalam mengeluarkan arahan penutupan keseluruhan 177 institusi pendidikan di zon merah Seremban bermula 25 Oktober hingga 9 November ini.

Bermula kelmarin, Seremban dikenal pasti sebagai zon merah susulan peningkatan kes di mukim Ampangan melalui Kluster Sofi dan terkini di mukim Labu melalui Kluster Kaya dengan jumlah keseluruhan kes di daerah berkenaan sebanyak 179 kes.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI