fbpx

Amanah harap Agong tolak cadangan darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Parti Amanah Negara (Amanah) berharap Yang di-Pertuan Agong akan menolak cadangan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat.

Sebaliknya, parti itu berharap baginda dapat mempertahankan institusi demokrasi berparlimen sekaligus menyelamatkan institusi Raja Berperlembagaan daripada diheret dalam sengketa dan mainan politik pihak berkuasa.

“Amanah berkeyakinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan majoriti dan tindakan ini bertujuan menyelamatkan dirinya daripada terpaksa menghadapi Usul Undi Tidak Percaya di Parlimen.

“Beliau juga gusar kemungkinan gagal mendapat sokongan terhadap pembentangan Belanjawan 2021,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan parti itu hari ini.

Tegas Amanah, Muhyiddin sewajarnya mengakui kehilangan sokongan majoriti dan meletak jawata yang akan menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam sengketa perebutan kuasa berpanjangan.

“Cadangan mengisytiharkan darurat adalah tindakan politik yang ingin mengambil kesempatan daripada bencana gelombang ketiga Covid-19 dan ini akan hanya menambahkan derita yang sedia dihadapi rakyat.

“Mahu tidak mahu pengistiharan darurat akan mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan rakyat, ekonomi negara serta menjejaskan imej Malaysia di kacamata pelabur antarabangsa dan masyarakat dunia,” tambahnya.

Ujarnya, tiada cadangan daripada pakar-pakar kesihatan awam dan penyakit-penyakit berjangkit untuk mengistiharkan darurat bagi menangani ancaman Covid-19.

“Sebaliknya apa yang diperlukan adalah untuk memperkukuhkan tindakan-tindakan kesihatan awam demi menghadapi gelombang ketiga ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI