fbpx

Kilang tauhu kering nipis diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KILANG fucuk di Umbai, Melaka diserbu KPDNHEP negeri selepas dipercayai melakukan kesalahan penakrifan logo halal.

JASIN – Sebuah kilang memproses tauhu kering nipis (fucuk) di Umbai di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri selepas dipercayai melakukan kesalahan penakrifan logo halal, semalam.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, serbuan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penggunaan logo halal yang mengelirukan.

Jelasnya, kilang tersebut mempunyai logo halal yang sah, namun didapati tidak mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan pihak kementerian.

“Kita telah membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,225.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Norena berkata, sejak Januari hingga 22 Oktober lalu sebanyak 17,400 premis perniagaan telah diperiksa meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang atau peladang.

Tambahnya, dalam tempoh itu KPDNHEP telah menerima sebanyak 775 aduan rasmi, yang mana kebanyakan membabitkan perihal harga.

“Sehingga semalam sebanyak 216 kes telah direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM636,206, manakala sebanyak RM114,050 kompaun serta denda RM187,500 dikeluarkan membabitkan semua kesalahan yang telah diambil tindakan.

“Kita mengingatkan kepada semua para peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI