KUALA LUMPUR – Malaysia kini diancam masalah kepupusan hidupan liar dengan kambing gurun menjadi spesies terbaharu yang dikenal pasti mengalami pengurangan dari segi bilangan.
Lebih membimbangkan apabila kambing gurun atau nama saintifiknya Capricornis Sumatraensis bakal mengalami nasib sama seperti spesies Badak Jawa yang kini dikategorikan sebagai hidupan liar yang telah pupus di Malaysia.
Spesies yang tergolong dalam keluarga Bovidae itu bukan sahaja sukar ditemui di habitat semula jadi, malah jumlahnya hanya tinggal antara 200 hingga 500 ekor di seluruh Semenanjung berbanding 750 ekor sebelum ini berdasarkan kajian beberapa pihak termasuk Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Selain pemburuan haram, kepupusan mamalia yang turut dikenali sebagai kambing hutan itu juga berpunca daripada penerokaan hutan bagi tujuan pertanian serta pembangunan.
Hidupan liar ini juga menjadi rebutan golongan peniaga ubat-ubatan tradisional bagi tujuan penghasilan minyak yang kononnya mampu menguatkan tenaga batin, menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk akibat perbuatan sihir.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, masalah kepupusan kambing gurun di negara ini sentiasa menjadi fokus utama pihaknya termasuk memikirkan kaedah terbaik bagi menangani isu tersebut.
Katanya, spesies berkenaan bukan sahaja dianggap khazanah negara yang perlu dipelihara, malah turut di bawah senarai merah spesies terancam Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa susulan populasinya semakin berkurangan.
“Kehilangan habitat semulajadi tetap menjadi ancaman utama bagi spesies ini terutamanya dari segi penukaran status guna tanah yang secara langsung mengancam kemandirian spesies.
“Sebagai contoh, kawasan bukit kapur pada asalnya merupakan habitat kegemaran kambing gurun tetapi kini menjadi kawasan industri penghasilan simen.
“Jadi spesies itu akan keluar cari habitat baru sekali gus terpisah dengan pasangan menyebabkan terbantut pembiakannya dalam negara,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai kepupusan kambing gurun akibat pemburuan, Abdul Kadir memberitahu, pelbagai strategi pengiklanan dan program kesedaran dilakukan, namun isu pemburuan dan penjualan hidupan liar secara haram tetap berlarutan.

Katanya, berdasarkan rekod, kira-kira 22 ekor kambing gurun telah dikenal pasti menjadi mangsa jenayah hidupan liar di Malaysia sejak 2011 hingga Julai lalu, manakala bagi rekod tangkapan pula, seramai 24 individu diberkas termasuk tiga warga asing dalam tempoh yang sama.
“Memandangkan kesukaran mendapat sumber bekalan daging hidupan liar ini, harga paling murah yang ditawarkan adalah RM100 bagi sekilogram dan ia mampu mencecah ribuan ringgit bergantung pada urus niaga antara pembeli dan peniaga haram.
“Seekor kambing gurun dewasa mempunyai berat sekurang-kurang 95 kilogram dan bagi memastikan daging itu tidak busuk, ia akan disalai di dalam hutan sebelum dijual kepada pembeli,” katanya.
Beliau berkata, organ kambing gurun turut mendapat permintaan termasuk kepalanya yang mana akan direndam berulang kali di dalam minyak kelapa sebelum dijual pada harga puluhan ringgit bagi setiap botol.
“Ia kononnya bagi tujuan perubatan walaupun dakwaan itu hanya satu mitos yang tidak dapat dibuktikan secara saintifik,” ujarnya.
Tambah Abdul Kadir, pesalah yang memburu atau menyimpan kambing gurun akan didakwa di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM500,000 serta dipenjara tidak melebihi lima tahun.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan kepupusan mamalia itu akan menjejaskan ekosistem kerana ia berperanan sebagai ejen penyebaran biji benih di dalam hutan tempatan dan kehilanganya sekali gus menyebabkan kepupusan beberapa jenis flora susulan mereka saling berkait.
“Bagi Perhilitan pelbagai langkah sudah dibuat kerajaan untuk memastikan hidupan liar yang diancam kepupusan terus terpelihara, namun penekanan itu perlu dititikberatkan dari bangku sekolah agar semua rakyat tahu nilai haiwan tersebut buat ekosistem negara,” katanya.














