fbpx

Toyota Hilux Rogue dilengkapi TSS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) baru-baru ini melancarkan model trak pikap, Toyota Hilux 2020.

Antara yang menarik varian tertinggi Hilux Rogue 2.8 Double Cab AT dan Hilux 2.4 V AT Double Cab hadir dengan Toyota Safety Sense (TSS).

Sistem berkenaan membantu pemandu daripada tiga ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Brek dan Stereng.

Pihak UMWT menawarkan lima pilihan varian kepada pembeli termasuk 2.8 Rogue dan 2.4 V. Hanya varian 2.4 Single Cab sahaja menggunakan transmisi manual.

Selain itu, setiap varian Hilux didatangkan dengan sistem pencegahan kecurian tersendiri, meliputi immobilizer enjin, penggera dan sensor pencerobohan kabin.

Sistem telematik kenderaan (VTS) turut dipasang sebagai ciri standard pada Hilux Rogue dan 2.4 V (ditawarkan sebagai pilihan bagi varian lain) bertujuan membolehkan pengesanan kedudukan kenderaan dalam masa nyata menggunakan isyarat GPS.

Walaupun penampilan luar dan dalam yang lebih segar, ia turut melibatkan peningkatan dari segi prestasi dan juga sistem keselamatan.

Menggunakan enjin 2.8 liter turbodiesel, Hilux Rogue juga menerima penambahbaikan teknikal yang memberikan peningkatan kuasa dan tork.

Kombinasi enjin dan transmisi mampu menghasilkan kuasa maksimum 204 ps pada 3,400 rpm sementara tork maksimum 500 Nm antara 1,600 dan 2,800 rpm.

Walaupun dengan janaan yang lebih tinggi, kadar penggunaan minyak sebaliknya dikurangkan sebanyak 4 peratus pada purata 10.9 kilometer (km) bagi setiap liter.

Bagi enjin 2.4 liter, yang turut memiliki ciri Variable Nozzle Turbocharger (VNT) dan intercooler serta sistem common-rail, ia turut diberikan pembaharuan dari aspek penyejukan dan penjimatan minyak.

Dengan tekanan lebih tinggi pada sistem common-rail berkenaan, penjimatan minyak dapat ditingkatkan sebanyak 5 peratus.

Dua mod pemanduan boleh dipilih oleh pemandu, sama ada bagi mengutamakan penjimatan minyak atau untuk kuasa pecutan. Kedua-duanya boleh dipilih dalam keadaan kenderaan bergerak melalui suis rotari.

Bantuan kuasa bagi rak dan tiang pada sistem stereng Hilux baru ini (kecuali pada varian Single Cab) kini mempunyai Sistem Kawalan Aliran Boleh Ubah (VFC) dengan bebanan yang kurang terhadap pam stereng kuasa, dan menyumbang kepada penjimatan bahan api.

Untuk kestabilan dan cengkaman yang lebih baik dalam keadaan jalan off-road, tersedia ciri Auto Limited Slip Differential (Auto LSD) yang menggunakan Sistem Kawalan Cengkaman (TRC) untuk mengawal brek dan janaan enjin ketika satu daripada roda belakang mula kehilangan cengkaman. Auto LSD ini berfungsi dengan lebih pantas jika dibandingkan dengan sistem 4×4 mekanikal.

Walaupun dengan kemampuan tahan lasak, Hilux tetap selesa untuk kegunaan harian. Aspek keselesaan diberikan penambahbaikan melalui pelbagai cara, termasuk mengoptimumkan mount kabin untuk mengurangkan gegaran serta bunyi bising daripada memasuki kabin.

Di dalam kabin, terdapat sehingga tujuh beg udara tersedia bagi mengurangkan kecederaan kepada penumpang sekiranya berlaku kemalangan. Pengingat tali keledar kini mempunyai sensor bagi bahagian depan dan belakang dan ISOFIX disediakan di belakang bagi memudahkan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Pelanggan boleh menentukan warna Hilux mereka daripada tujuh pilihan warna yang ditawarkan; Bronze Mica Metallic (warna baru), Crimson Spark Red Metallic, Attitude BlacK Mica, Phantom Brown Metallic, Medium Silver Metallic, Silver Metallic dan Super White II.

Bagi Hilux Single Cab pula, ia hanya ditawarkan dalam warna Solid White.

Pelanggan yang inginkan maklumat tambahan atau mengetahui lokasi bilik pameran Toyota boleh melayari toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-TOYOTA (869682).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI