fbpx
Muhammad Rayan berharap air di pekarangan rumahnya surut pada petang ini.

Terkejut air masuk rumah selepas solat Subuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

KUALA SELANGOR – Penduduk di Jalan Kolam Pancing terkejut apabila kediaman mereka digenangi air sedalam satu meter akibat fenomena air pasang besar hari ini.

Rata-rata rumah tersebut dimasuki air dalam tempoh 15 hingga 30 minit bermula kira-kira pukul 7 pagi.

Seorang penduduk ditemui Kosmo!, Noorain Razali, 32, berkata, kejadian disedari apabila dia baharu sahaja selesai menunaikan solat subuh.

“Saya melihat daripada tingkap rumah mendapati longkang di tepi kediaman telah dipenuhi air.

“Sebaik selesai solat Subuh didapati air masuk ke rumah dengan begitu cepat sedalam satu meter dengan segera memindahkan barangan seperti pembersih hampagas, kipas dan pakaian ke tempat lebih tinggi,” katanya.

Kata pekerja sebuah syarikat perbankan itu, air hanya berhenti memasuki rumahnya kira-kira 45 minit kemudian.

Sementara itu, Muhammad Rayan Abdullah, 45, pula memberitahu kejadian tersebut tidak seteruk pernah dialaminya berbanding empat tahun lalu dengan kediamannya digenangi air setinggi paras lutut.

“Selepas kejadian itu, saya terus membina tembok di belakang rumah bagi mengelak air akibat fenomena itu memasuki kediaman menerusi ladang kelapa sawit,” katanya.

Bagi Mohd. Fazli Jamil, 32, sudah tiga kali air akibat fenomena itu memasuki pekarangan rumah pada tahun ini sejak tinggal di kawasan tersebut setahun lalu.

Fenomena air pasang besar yang dijangka sehingga esok itu akan melibatkan lima daerah iaitu Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang. – K! ONLINE