fbpx

Projek besar Kuala Lumpur United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOKMAN menyatakan hasrat KLFA sedia menjalinkan kerjasama sama ada Felda United atau UKM FC untuk dijadikan sebagai kelab feeder bagi saingan Liga M musim depan.

PASUKAN Kuala Lumpur berhasrat untuk berkolaborasi ­dengan Felda United atau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) untuk mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan sebagai status kelab feeder untuk The City Boys.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa selepas menyaksikan konflik pengurusan dalaman Felda United sehingga terpaksa menarik diri pada kempen Liga M tahun depan.

Malah, situasi UKM FC juga masih menjadi tanda tanya memandangkan proses penswastaan mereka masih memerlukan penjelasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana dokumen yang tidak lengkap.

Kata Nokman, pihaknya sedia berbincang untuk bergabung dengan salah satu daripada kedua-dua pasukan itu tetapi dengan syarat mereka perlu menjadi pasukan feeder kepada skuad The City Boys yang akan bersaing dalam kancah Liga Super musim depan.

“Saya ikuti perkembangan Felda United dan UKM FC dengan masa depan kedua-dua pasukan masih belum jelas. KLFA bersedia memberikan talian hayat buat mereka bergabung dengan pasukan kami musim depan.

“Memandangkan Kuala Lumpur layak ke Liga Super secara merit, pasukan terbabit perlu menjadi kelab feeder kepada kami dengan beraksi dalam sai­ngan Liga Premier,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Nokman menegaskan, Felda United dan UKM FC perlu menyumbang dana jika mahu menjalinkan kerjasama dan jumlahnya tidak terlalu tinggi memandangkan tugas mereka hanya perlu fokus dengan pemain di peringkat belia.

“Kita sudah buat perkiraan kos untuk menguruskan pasukan feeder adalah sebanyak RM3 juta semusim. Justeru, kami akan tengok sumber kewangan Felda United atau UKM FC sebelum menjalinkan kerjasama.

“Apa yang pasti, segalanya boleh dibincangkan kerana kami memang mencari satu pasukan feeder yang hanya perlu memberi tumpuan untuk membentuk pasukan bawah 21 tahun selain dibantu dua orang pemain import,” katanya.

Skuad Warga Kota yang dibimbing oleh Nidzam Adzha beraksi cemerlang pada sai­ngan Liga Premier musim ini dan bakal dijenamakan dengan nama Kuala Lumpur United musim depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI