fbpx

Izzrin Irfan mahu jadi penghibur versatil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZZRIN IRFAN

PENYERTAAN dalam rancangan I Can See Your Voice Malaysia (ICSUVMY) membuka peluang untuk anak muda itu bergelar penyanyi.

Siapa sangka, niat suka-suka ketika hadir ke sesi uji bakat program tersebut yang diadakan sekitar November tahun lalu menjadi titik tolak buat pemilik nama sebenar Mohammad Izzrin Irfan memasuki dunia muzik,

Biarpun artis jemputan ketika itu, Datuk Hattan gagal meneka dirinya sebagai penyanyi sebenar, rezeki masih memihak kepadanya untuk terus melangkah menjadi seorang anak seni.

Menurut jejaka berusia 19 tahun itu, sebelum bergelar penyanyi, dia banyak memuat naik video nyanyian semula lagu penyanyi lain dalam Instagram.

“Saya banyak menyanyikan semula lagu pelbagai penyanyi lain.

“Malah, ada beberapa penyanyi seperti Haqiem Rusli dan Melly Goslow pernah meninggalkan komen pada nyanyian saya,” ujar penyanyi berasal dari Sungai Petani, Kedah itu.

PENDATANG baharu, Izzrin Irfan mempertaruhkan lagu Aku Terima Nikahnya untuk menawan hati khalayak. Video muzik lagu berkenaan kini sudah mencatat lebih 300,000 tontonan dalam YouTube.
– MUHAMAD IQBAL ROSLI

Kekal relevan

Bagaimanapun, cabaran awal perlu dilalui Izzrin apabila akaun Instagramnya telah digodam sebanyak dua kali. Sehingga kini, dia harus mengumpul semula material dan pengikut menerusi akaun yang ketiga.

Tambahan pula, peluang sedang terbuka buatnya apabila single pertamanya berjudul Aku Terima Nikahnya telah dilancarkan pada 10 September lalu.

Lagu hasil ciptaan Loqman Hakim dan lirik ditulis oleh Knight Cydeen itu dibuat menepati selera cuping telinga pendengar.

Menurut penyanyi bertubuh kecil itu, lagu Aku Terima Nikahnya dihasilkan dengan sentuhan yang tidak terlalu berat demi memenuhi cita rasa pendengar.

“Single ini bercerita tentang remaja yang berangan-angan untuk berkahwin pada usia muda. Lagu ini juga disokong muzik video yang sangat cantik dan menarik,” katanya.

Ujar Izzrin lagi, Aku Terima Nikahnya sepatutnya dilancarkan lebih awal iaitu sekitar Julai lalu, namun tergendala disebabkan situasi yang sedang melanda buat masa ini.

Bagaimanapun, kekangan yang berlaku sebenarnya memberi hikmah buat Izzrin apabila dia tidak memerlukan waktu yang lama ketika proses merakamkan lagu di dalam studio.

“Saya telah menerima lagu ini lebih awal dan banyak melakukan latihan.

“Jadi proses rakaman hanya memakan waktu selama empat jam,” katanya.

Tidak mahu terburu-buru membina nama, Izzrin juga mengakui seiring usia yang masih muda, dia memerlukan banyak bimbingan dan perancangan teliti untuk kekal relevan dalam industri.

Mengakui kekuatan vokalnya lebih cenderung ke arah lagu bergenre balada, Izzrin ingin membuktikan kemampuannya menyampaikan lagu yang lebih berat untuk menguji kemampuan diri menerusi single kedua nanti.

MENURUT Izzrin, lagu Aku Terima Nikahnya sepatutnya dilancarkan lebih awal iaitu sekitar Julai lalu, namun tergendala disebabkan situasi yang sedang melanda buat masa ini.

Berlakon

Tidak hanya menyanyi, Izzrin juga ada berjinak-jinak dalam bidang lakonan selepas membintangi dua buah drama.

Biarpun tidak memegang watak utama, sekurang-kurangnya langkah tersebut memberi pengalaman kepadanya mencuba sesuatu yang berbeza dalam karier.

“Saya bukan sekadar ingin menjadi penyanyi, tetapi penghibur,” katanya.

Ditanya tentang perancangan masa depan, Izzrin berkata, selagi ada orang yang terhibur, selagi itulah dia akan menghibur khalayak.

Menganggap dirinya masih terlalu mentah dalam industri seni, justeru Izzrin turut meletakkan perancangan untuk mengikuti kelas vokal bagi memastikan dirinya tidak dipandang sebagai artis kosong ilmu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI