fbpx
Gambar hiasan

Bantu rakyat harungi pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

INSTITUT Penyelidikan Khaza­nah (KRI) pada Selasa lalu menerbitkan laporan terbaharu mereka, berjudul Kebajikan di Malaysia Merentas Tiga Dekad – Keadaan Isi Rumah 2020.

Laporan oleh penyelidik KRI, Christopher Choong Weng Wai, Adam Manaf Mohamed Firouz dan Hawati Abdul Hamid itu men­injau kemajuan serta pembangunan negara dari 1989 hingga 2019 menerusi kaca mata isi rumah.

Pengerusi KRI, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, laporan itu membolehkan pihaknya memahami pembangunan dari aspek manusiawi, angka-angka utama seperti Keluaran Dalam Negara Kasar atau pelaburan ­asing dan mendalami kebajikan serta kesejahteraan isi rumah.

Antara dapatan daripada laporan itu, meskipun kemiskinan mutlak menurun dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini, (16.5 peratus pada 1989 kepada 5.6 peratus pada 2019), masih ramai rakyat Malaysia berada dalam kategori mudah terjejas.

Menurutnya, selain 405,000 isi rumah yang hidup di bawah garis kemiskinan (dengan pendapatan isi rumah RM2,208 ke bawah se­bulan), terdapat 11.3 peratus isi rumah, mewakili 835,000 individu tergolong dalam kategori rentan.

Mereka ini dianggap miskin relatif dengan garis pendapatan bulanan RM2,937 ke bawah.

“Golongan ini mempunyai pendapatan hanya tinggi sedikit daripada pendapatan garis kemiskinan mutlak, masih ramai berada jauh daripada taraf hidup purata masyarakat.

“Isi rumah ini sangat mudah untuk jatuh kembali dalam ka­tegori miskin mutlak jika berlaku malapetaka seperti jatuh sakit atau hilang pekerjaan,” katanya.

Berdasarkan laporan itu lagi, isi rumah dalam kelompok pendapatan 10 peratus paling bawah juga mempunyai purata lebihan kasar pendapatan isi rumah sebanyak RM200 sebulan.

Namun, jumlah lebihan kasar tersebut belum mengambil kira pembayaran wajib seperti bayaran skim keselamatan sosial, cukai, zakat dan pindaan tunai antara isi rumah.

Jika perbelanjaan tersebut diambil kira, baki bersih pendapatan adalah lebih rendah dengan sebilangan isi rumah mengalami defisit kewangan bulanan.

Itu pada tahun 2019. Bagaimana agaknya situasi mereka sekarang, dalam suasana ekonomi yang mencabar akibat pandemik Covid-19.

Bagaimana golongan miskin dan miskin relatif ini yang tinggal di Lembah Klang dan Sabah mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dija­dualkan sehingga 27 Oktober ini?

Mungkin ada antara mereka hilang pekerjaan sepanjang tempoh itu atau pendapatan terjejas.

Oleh itu, kerajaan digesa lebih agresif menghulurkan bantuan, termasuk pemberian wang tunai bagi melegakan beban sebilangan besar masyarakat.

Jangan biarkan soal perbezaan dan kemelut politik serta isu seperti kadar hutang negara menghalang usaha membantu rakyat.

Seperti kata Nor Mohamed pada sesi pembentangan laporan berkenaan, sekarang bukan masanya kerajaan memikirkan soal hutang, ketika ada warga kita yang gusar tentang soal rezeki pada esok hari.

“Kerajaan dan rakyat perlu terus berganding bahu mendedikasikan diri untuk bekerja keras dengan iltizam yang ikhlas dan berani membuat keputusan unorthodox bagi melaksanakan segala yang diperlukan untuk memastikan taraf hidup yang baik bagi setiap rakyat Malaysia.

“Pada akhirnya, layanan kita terhadap isi rumah yang lemah, miskin dan rentan akan mencerminkan sifat dan kekuatan sebenar negara kita,” katanya.

BERITA BERKAITAN