fbpx

Kumpulan EKA sasar jualan RM60 juta tahun 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Kumpulan EKA (EKA) menyasarkan jualan bagi pelbagai produk makanan berasaskan beras bakal mencapai sehingga RM60 juta pada tahun depan.

Pengerusinya, Saffie Bakar berkata, nilai unjuran pada tahun 2020 adalah sebanyak RM49 juta berbanding yang dicatat pada tahun sebelumnya iaitu seba­nyak RM25 juta.

Menurut beliau, jumlah unjuran tersebut mampu dicapai meskipun Kumpulan berdepan dengan persekitaran ekonomi sukar akibat pandemik Co­vid-19.

Ini kerana, Kumpulan mendapat sokongan daripada Ke­menterian Perdagangan An­­tarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pe­laburan Malaysia serta Padi­beras Nasional Bhd. (Bernas).

 

SAFFIE (tengah) menunjukkan produk keluaran Kumpulan EKA di George Town baru-baru ini.

 

“Pembekal juga menyokong menghantar bahan mentah dan Kumpulan memiliki kende­raan sendiri untuk menjalankan penghantaran produk-produk ke seluruh negara walaupun semasa tempoh Perintah Ka­walan Pergerakan (PKP),” katanya dalam ke­nyataan yang dike­luarkan di sini semalam.

Saffie menerangkan, sepanjang tempoh PKP pada bulan Mac lalu, pihaknya turut terkesan tetapi berjaya mengha­runginya dan berniaga seperti biasa.

Tambah beliau, antara faktor yang menjadikan produk EKA seperti bihun, laksa dan mi mampu bertahan di pasaran domestik kerana ia adalah antara makanan ruji semua lapisan masyarakat.

Selain itu, Shaffie menerangkan, Kumpulan EKA dalam perancangan untuk memper­kenalkan rangkaian produk baharu seperti kueteau kering, suhun dan mi sua.

 

“Kami juga bercadang untuk meluaskan pengeluaran dan menambahkan kapasiti kilang di kawasan Perindustrian Halal di Kuala Ketil, Kedah,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai pasaran eksport, Saffie menjelaskan, Kumpulan bercadang untuk memasarkan produk ke­luaran ke pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia, Kemboja, Vietnam, Filipina, Myanmar, Brunei dan Thailand.

Selain itu, pasaran India dan Taiwan juga dalam perancangan untuk ditembusi pada masa depan.