fbpx

Hasilkan album bagi kumpul dana untuk pusat tahfiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Lat (kanan) dan Azhar Latiff (kiri) pada Majlis Pelancaran Album Mini Bismillah di Al-Ulya Ballaroom Dapur Al-Ulya, Ipoh hari ini.

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH – Inisiatif mencari dana untuk membiayai operasi Pusat Tahfiz Al-Ulya, Manjoi di sini menyaksikan kolaborasi dua figura seni, Mohadirman Ismail atau Moha dengan Along Exist untuk menerbitkan sebuah album mini berjudul Bismillah secara percuma bagi tujuan dakwah.

Mohardiman merupakan salah seorang pemuzik terkenal tanahair terutamanya bermain alat muzik seruling mengiringi artis-artis ternama seperti M.Nasir.

Uniknya, lagu-lagu di dalam album itu dinyanyikan oleh pengendali pusat tahfiz tersebut, Ustaz Azhar Latiff yang turut bertindak selaku pencipta lagu.

Menurut Azhar, penerbitan album berkenaan adalah antara usaha pihak pengurusan pusat tahfiz itu untuk mempelbagaikan cara mencari dana seperti mengendalikan sebuah kafe dan usaha-usaha lain.

Katanya, pusat tersebut Ketika ini mempunyai 60 pelajar termasuk enam perempuan manakala kutipan yuran bulanan hanya dapat menampung sebahagian kos operasi.

“Saya memang gemar menyanyi dan mulanya merancang untuk menghasilkan album lagu-lagu saduran sebelum timbul cadangan menerbitkan sebuah album lagu-lagu baharu.

“Saya merasa bertuah apabila setelah beberapa kali berbincang, Mohardiman dan Along Exist sudi untuk menjayakan usaha ini secara percuma. Jadi, tiada kos dikeluarkan untuk menerbitkan album ini yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan,” ujarnya kepada pemberita.

Majlis pelancaran album mini Bismillah ini telah disempurnakan oleh kartunis tersohor tanahair, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat.

Sementara itu, Mohardiman berkata, beliau amat berbesar hati apabila dapat bersama-sama menjayakan pembikinian album tersebut yang dirakam sepenuhnya di Ada.Exist Studio, Kuala Lumpur.

Katanya, kebiasaanya kos untuk menerbitkan sebuah album mencecah antara RM20,000 hingga RM30,000.

“Ini hanyalah usaha kecil saya dan Along Exist untuk sama-sama membantu pusat tafiz tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, mereka yang berminat untuk membeli album ini dengan harga RM20 bagi menyumbang kepada dana Pusat Tahfiz Al-Ulya boleh menghubungi talian 017-4819629 atau layari laman Facebook Tahfiz Al-Ulya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI