fbpx

KPT disaran jadikan IPTS di negeri sebagai pusat pengajian sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Exco Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia, Tina Tajuddin pada sidang media di Taj International College, Ipoh, Perak. FOTO ZULFACHRI ZULKIFLI

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran menjadikan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang ada di negeri sebagai pusat pengajian sementara untuk pelajar.

Exco Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia, Tina Tajuddin berkata, cadangan tersebut merupakan usaha dalam memastikan pengajian pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diteruskan meskipun berdepan dengan tempoh panjang penularan wabak Covid-19.

Katanya, inisiatif itu memerlukan usahasama strategik daripada IPTA dan IPTS serta disokong penuh KPT dalam memberi pendidikan terbaik kepada pelajar.

“Kita bukan hanya bercakap soal Covid-19 sahaja sebaliknya isu pelajar-pelajar untuk mendapatkan pendidikan. Sekarang, ramai pelajar yang pengajian ditangguhkan sedangkan kita telah berada di hujung tahun di mana ada yang tidak mula pun lagi pembelajaran.

“Sekarang tidak timbul pelajar universiti awam atau swasta sebaliknya kita bercakap tentang masa depan negara. Apa akan terjadi sekiranya kebanyakan pelajar tidak menyambung pengajian.

“Mungkin akan ada timbul masalah lain seperti psikologi apabila tidak lagi berminat untuk belajar setelah diminta balik (menangguhkan pengajian),” katanya dalam sidang akhbar di Taj International College di sini hari ini.

Tina berkata, isu tersebut perlu dipandang serius kerana akan memberi kesan bukan sahaja kepada pelajar malah sektor pendidikan negara.

Oleh itu katanya, cadangan memanfaatkan kemudahan di 400 IPTS seluruh negara sebagai pusat pengajian sementara itu perlu dipertimbangkan kerana ia merupakan alternatif lain selain belajar secara dalam talian.

“Memang ada cadangan mengenai pembelajaran secara dalam talian namun tidak semua institusi bersedia menjalankan model pembelajaran itu malah pelajar baharu juga ada yang tidak bersedia.

“Walaupun kita mementingkan pembelajaran norma baharu iaitu secara dalam talian namun sokongan itu perlu ada. Jadi, apabila ada kerjasama antara IPTA dan IPTS, apa juga isu yang timbul boleh diatasi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI