fbpx

K2

SWEE TIN menunjukkan buku Merentas Gempita: Pandemik 2020 yang mengandungi 57 buah puisi nukilan sasterawan itu yang kesemuanya berkisar Covid-19.- Foto FARIZ RUSADIO

Puitis puisi khas Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“LANGIT kita masih kelabu pun bimbang tetap membumbung. Bila mentari cerah kembali dan hujan rahmat membasahi bumi. Marilah bersama impikan lazuardi, satukan harapan lebur keresahan. Pelangi pasti kan terbit lagi, tunggu sehingga esok, Tuhan hanya menguji.”

Itulah bait-bait puitis sajak bertajuk Tunggulah Sehingga Esok yang terkandung di dalam buku himpunan puisi berjudul Merentas Gempita: Pandemik 2020.

Naskhah himpunan puisi tersebut hasil nukilan sasterawan, Prof. Dr. Lim Swee Tin yang dikarang khas oleh dirinya ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Umum mengetahui pandemik Covid-19 ini adalah satu virus yang menyerang dunia ketika ini.

“Pandemik ini memberi banyak kesan dan mengubah norma kehidupan manusia. Atas sebab itu saya mengambil keputusan untuk menghasilkan puisi berkaitan Covid-19,” katanya.

Merentas Gempita: Pandemik 2020 merupakan sebuah buku yang menghimpunkan 57 puisi kesemuanya mengenai pandemik Covid-19.

Puisi-puisi yang terkandung di dalam buku tersebut merangkumi pelbagai aspek seperti kesan, kebimbangan serta pengajaran yang wujud daripada penularan virus tersebut.

Buku itu juga telah diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai puisi pandemik Covid-19 terpanjang (longest Covid-19 pandemic poem)

Swee Tin menegaskan, pandemik Covid-19 memberi banyak kesan kepada kehidupan dan ancamannya juga telah menghiruk-pikuk ketenteraman hidup manusia di seluruh dunia.

PANDEMIK Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada masyarakat dunia termasuk Malaysia terutamanya berhubung amalan norma baharu.

Tegas Swee Tin, dia percaya itu semua adalah ujian Tuhan untuk umat-Nya bagi melihat sejauh mana kita bersabar dalam menempuh sesuatu ujian.

Tunggulah Sehingga Esok merupakan puisi terakhir yang ditulisnya dalam naskhah tersebut bagi menerangkan bahawa situasi yang kita semua hadapi ini adalah satu ujian yang bersifat sementara dan pasti akan berakhir.

“Bait ‘Langit kita masih kelabu’ adalah gambaran yang menunjukkan penularan Covid-19 yang masih berlaku membuatkan kita semua bimbang. ‘Marilah bersama impikan lazuardi’ pula menerangkan kita semua berharap langit kembali biru dan keadaan pulih seperti sediakala. Lazuardi ialah permata berwarna biru.

“Sementara itu, ‘pelangi pasti kan terbit lagi tunggu sehingga esok hari Tuhan hanya menguji’ pula menerangkan Tuhan hanya menguji kita dan perlu bersabar, semuanya pasti akan berakhir,” terangnya panjang lebar mengenai tafsiran bait puisi itu.

Tambahnya, puisi Tunggulah Sehingga Esok ialah puisi yang paling disukainya kerana puisi itu menyimpulkan semua berkaitan pandemik ini dalam sajak yang pendek dan ringkas.

Dalam pada itu, Swee Tin juga menzahirkan rasa hormat terhadap barisan hadapan dengan mengarang sebuah puisi khas bertajuk Di Hadapan Tanggungjawab Untuk Mereka.

Menurutnya, barisan hadapan ini telah bertungkus lumus menunaikan amanah yang diberikan kepada mereka dengan penuh tanggungjawab.

“Saya terkesan melihat pengorbanan barisan hadapan. Pengorbanan mereka dalam memerangi penularan wabak ini begitu besar. Mereka sanggup meninggalkan keluarga dan menyarung pakaian khas yang panas selama berjam-jam.

“Selain itu pasukan polis dan tentera juga sanggup berhujan dan berpanas melakukan pengawasan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” ujar Swee Tin.

Dalam pada itu, Swee Tin juga mendedikasikan dua puisi khas di dalam naskhah tersebut kepada Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang juga merupakan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Swee Tin menjelaskan, dia kagum melihat bagaimana Noor Hisham berjaya mengawal penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

“Beliau bertanggungjawab menjaga keselamatan lebih 32 juta rakyat negara ini. Beliau juga antara tokoh yang dipilih menjadi tiga doktor terbaik di dunia dalam mengawal penularan wabak ini.

“Oleh sebab itu, sebagai satu penghargaan kepadanya saya menuliskan dua sajak khas buatnya yang bertajuk Berdiri Seorang Wira dan Ada Seorang Perancang Bijaksana,” tegasnya.

Tambahnya, negara kita bertuah kerana memiliki insan yang bijaksana dalam membendung penularan wabak ini.

Swee Tin merasakan, penulisan kumpulan puisi berkaitan pandemik Covid-19 merupakan satu rekod penting yang boleh dijadikan rujukan pada masa akan datang.

Tegasnya, kepakarannya adalah dalam bidang penulisan dan dia mengambil inisiatif untuk menulis bagi menyampaikan sesuatu tentang pandemik itu dalam bentuk sedikit berbeza iaitu kumpulan puisi.

JASA Noor Hisham dalam mengawal penularan Covid-19 turut didedikasikan dalam puisi.

Swee Tin menjelaskan, dia mengambil masa sekitar lima bulan untuk menulis keseluruhan puisi itu.

Ada juga puisi yang ditulisnya itu perlu disunting berkali-kali bagi membolehkan susunan ayat yang hendak disampaikannya lebih jelas.

Tegasnya, dia mula menulis puisi-puisi itu sejak Januari lalu sewaktu pandemik Covid-19 mula merebak ke seluruh dunia.

“Pada ketika itu saya berada di Thailand dan melihat berita tentang virus dari Wuhan, China yang berpunca dari kelawar mula merebak ke beberapa negara.

“Dari situ saya mula menulis di kertas nota terlebih dahulu. Tetapi selepas itu, saban hari ada laporan berita tentang penularan Covid-19 dan saya merasakan perkara ini semakin serius,” ujarnya.

Tambahnya, dia kemudian aktif mengarang puisi berkaitan masalah itu berpandukan sumber-sumber berita sahih yang disiarkan.

Pada awalnya Swee Tin tidak merancang untuk menerbitkan buku itu dengan begitu cepat.

Bagaimanapun, pada bulan Mei lalu, rakannya memaklumkan bahawa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mula menerbitkan karya-karya sastera.

Tanpa melengahkan masa, dia telah mengumpul hasil tulisannya itu dan kemudian menghantarnya kepada pihak UTeM.

“Respons diberikan oleh pihak UTeM juga begitu pantas. Mereka terus menghubungi saya dan menyatakan bahawa panel akan membaca dan menilai terlebih dahulu.

“UTeM kemudian mengambil langkah proaktif bersetuju untuk menerbitkan buku tersebut,” ujarnya.

Jelasnya, buku Merentas Gempita: Pandemik 2020 telah diterbitkan pada Julai lalu. Menurutnya, sambutan orang ramai terhadap buku itu baik sekali dan pihak penerbitan memaklumkan cetakan buku tersebut telah ditambah.

POPULAR