fbpx

Penggiat seni, budaya tidak dilupa semasa pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLI amat prihatin dengan nasib penggiat seni dan budaya dan bersedia membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

PENULARAN pandemik Covid-19 pada ketika ini menyebabkan banyak pihak di negara ini terjejas. Ia berikutan langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi memutuskan rantaian wabak dalam masyarakat.

Semasa pelaksanaan PKP yang bermula pada 18 Mac hingga 3 Mei lalu, pergerakan orang ramai terbatas untuk tujuan penting sahaja, manakala aktiviti rentas negeri dan negara dilarang sama sekali.
Bagaimanapun, ia dilonggarkan mengikut keperluan semasa berdasarkan jumlah kes terkini iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bermula 4 Mei hingga 9 Jun lalu.

Ketika ini, negara masih berada dalam PKPP dari 10 Mei hingga 31 Disember depan. Salah satu sektor yang terjejas adalah seni dan budaya tempatan apabila banyak acara di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa telah dibatal atau ditunda.

Situasi ini sedikit sebanyak telah menjejaskan industri pelancongan negara secara amnya dan para penggiat seni dan budaya.

Menurut Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dianggarkan hampir 2,629 penggiat seni dan budaya terjejas, terutamanya daripada aspek pendapatan sepanjang pelaksanaan PKP.

Ia membabitkan mereka yang terlibat dalam aktiviti kesenian bersama JKKN seperti mak yong, caklempong, kuda kepang, boria dan tarian-tarian tradisional kaum serta etnik.

Justeru, pihak JKKN telah merancang dan melaksanakan beberapa program khusus bagi membantu penggiat seni dan budaya yang terjejas.

 

RAMAI penggerak seni dan budaya di negara ini yang bergantung penuh dengan acara anjuran JKKN terjejas pendapatan sejak PKP dilaksanakan.
– Gambar hiasan

 

Bagi mengulas lanjut mengenai kesan Covid-19 serta program yang dilaksanakan untuk penggiat seni dan budaya tempatan, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berkesempatan mewawancara Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Dasar dan Perancangan JKKN, Rosli Osman.

Kosmo! Ahad: Terangkan sejauh mana impak Covid-19 kepada aktiviti seni dan budaya di negara ini setakat ini?
Rosli: Disebabkan Covid-19, negara terpaksa melaksanakan PKP dan PKPP yang melarang orang ramai berkumpul dalam jumlah ramai.

Situasi itu telah memberi kesan kepada industri seni dan kebudayaan tempatan kerana banyak acara yang dirancang sepanjang tahun ini tidak dapat dilakukan.

Ini termasuk program yang dirancang untuk menyokong sektor pelancongan seperti Program Pelancongan Budaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dilaksanakan oleh JKKN.

Keadaan ini secara tidak langsung telah menjejaskan pendapatan para penggiat seni dan budaya tempatan yang bergantung sepenuhnya dengan acara anjuran JKKN.

Sepanjang tahun ini, berapakah jumlah acara yang terpaksa dibatal atau ditangguh ekoran penularan pandemik Covid-19?
JKKN telah merancang beberapa program utama sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahu pun antarabangsa.

Ini termasuk Program Pelancongan Budaya yang berlangsung di peringkat JKKN negeri.

Ketika ini, sebanyak tujuh program utama terpaksa ditangguhkan dan ditunda kepada tahun hadapan kecuali Pesta Angin Timur yang telah pun dilaksanakan pada Februari lalu.

Antara acara yang ditunda termasuklah Festival Permainan Malaysia@Kepong, Festival Kesenian Rakyat Kelate, Festival Seni Selat Melaka, Festival Gendang Melayu Sarawak, Festival Sayangi Lahad Datu dan Festival Kesenian Balik Pulau.

Adakah JKKN menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban penggiat seni dan budaya yang terjejas serta jelaskan bentuk dan jumlah sumbangan?
JKKN telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan aktiviti seni secara dalam talian seperti pertandingan dan manifestasi.

Penganjuran acara sedemikian secara tidak langsung dapat membantu penggiat seni dan budaya dalam bentuk wang tunai.

Kami telah melantik beberapa orang penggiat seni sebagai juri mengikut bidang kepakaran masing-masing bersesuaian dengan program dan aktiviti yang dianjurkan. Selain itu, JKKN memberi fokus kepada Program Insentif Seni JKKN 2020.

Program ini adalah penjenamaan beberapa bentuk bantuan dan perkhidmatan sedia ada yang disediakan oleh JKKN kepada badan bukan kerajaan (NGO) seni budaya dan para penggiatnya.

Tujuan utama inisiatif ini adalah untuk menambah upaya penggiat seni dalam melaksanakan program dan aktiviti berkaitan.

Kami menawarkan lima insentif kepada dan penggiat seni iaitu seni kewangan, seni ruang, seni kepakaran, seni promosi dan memudahkan cara bantuan pihak lain.

Boleh jelaskan lebih lanjut tentang penganjuran pertandingan secara dalam talian ini?
Sebagai sebuah agensi bertanggungjawab melestari dan memelihara seni budaya negara, kami sentiasa merancang pelbagai program dan aktiviti daripada peringkat akar umbi sehingga ke pelbagai lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, disebabkan Covid-19, kami terpaksa mengadakan pertandingan dan acara secara online seiring dengan teknologi pada masa kini.

JKKN telah melaksanakan tujuh program dan aktiviti seni budaya secara online sewaktu PKP dan PKPP.

Antara aktiviti yang dianjurkan termasuklah Pertandingan Pantun Duduk Rumah, Pertandingan Cabaran Tarian dan Pertandingan Seni Dalam Talian.

Kami juga mengajar masyarakat belajar cara-cara membuat tengkolok, pemakaian sampin, demonstrasi gubahan tepak sirih dan pemakaian kostum tradisional melalui program Jom Belajar Seni Budaya Online.

Bagaimanakah sambutan yang diberikan oleh orang ramai terhadap acara dan aktiviti yang dianjurkan secara dalam talian?
Disebabkan rakyat diminta duduk di rumah semasa PKP, media sosial menjadi medium terbaik dalam menyampaikan sebarang maklumat, hebahan dan membuat publisiti.

Kami melalui JKKN negeri -negeri telah melaksanakan program seni dalam talian sempena PKP yang telah mendapat jumlah penyertaan keseluruhan sebanyak 1,950.

Pertandingan Seni Dalam Talian mencatatkan sebanyak 1,860 penyertaan, manakala jumlah penyertaan bagi program manifestasi pula adalah 90 penyertaan.

Jika dilihat dari segi jumlah tontonan, suka dan kongsi, JKKN negeri Kedah adalah yang paling tinggi iaitu sebanyak 7,836 tontonan, 874 suka dan 145 kongsi.

Ia melibatkan aktiviti seperti Jom Belajar Seni Budaya Online, persembahan dan ilmiah yang berlangsung yang pada 18 Mac hingga 22 Jun lalu.

Adakah JKKN turut menganjurkan acara berskala besar dengan meminta pengunjung dan peserta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat?
Sepanjang tahun 2020, JKKN tidak akan melaksanakan sebaran program melibatkan peserta dan pengunjung yang ramai.

Bagaimanapun, program berbentuk persembahan rakaman, pembelajaran dan kemahiran yang melibatkan NGO dan kerajaan serta program ilmiah berskala kecil tetap diteruskan mengikut SOP ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

PENGANJURAN acara kebudayaan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu disebabkan penularan Covid-19. – Gambar hiasan

 

JKKN juga telah mewujudkan SOP bersesuaian dengan bidang tugas mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan itu.

Ia melibatkan tatacara dan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan semasa mengunjungi premis serta fasiliti awam kebudayaan.

Misalnya, audiens auditorium perlulah tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah sebenar kapasiti pelawat pada satu-satu masa, galeri JKKN pula tidak boleh lebih 10 orang.

Pentas dan ruang terbuka tidak boleh melebihi 20 orang dan kawalan keselamatan, pembersihan, sanitasi serta pendaftaran melalui aplikasi Mysejahtera.

Bilakah jangkaan semua aktiviti JKKN dapat dijalankan seperti sebelum ini?
Pelaksanaan program bergantung kepada arahan dan nasihat daripada MKN dan KKM.

Bagaimanapun, JKKN akan menyusun dan merancang aktiviti serta program yang bersesuaian dengan norma baharu pada ketika ini.

Pada masa sama, kami tidak akan mengabaikan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Buat masa ini, kami tidak dapat menjangkakan waktu tepat acara dan aktiviti JKNN akan dilangsungkan seperti biasa.

Besar kemungkinan, acara dan program akan mula dianjurkan pada tahun depan.

Apakah harapan tuan kepada aktiviti kebudayaan dan kesenian di negara ini pada masa depan?
JKKN berharap agar para penggiat dan pemain industri seni budaya dapat menerima serta menyesuaikan diri dalam norma baharu dalam melaksanakan aktiviti seni budaya.

Ia merupakan adaptasi baharu yang perlu diterima dan diamalkan oleh mereka dalam usaha memastikan industri ini terus berjalan dan bersemarak dalam apa juga keadaan.

JKKN sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap seni budaya tidak pernah berhenti untuk terus melestari, menyemarak dan memelihara seni budaya warisan bangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI