fbpx

Maut rempuh treler rosak di lorong kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa ditutup selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 235.5, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Rembau malam tadi.

Oleh NOR AINNA HAMZAH

REMBAU – Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar bahagian belakang sebuah treler yang rosak di Kilometer 235.5, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa, Muhamad Hafiz Abd. Kadir @ Roslan, 21, dari Tangkak, Johor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di dada dan kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 yang ditunggangi mangsa dan sebuah treler jenis Scania.

“Berdasarkan siasatan awal, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang treler yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

“Susulan rempuhan itu, mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Anuar berkata, pemandu treler berusia 44 tahun tidak cedera.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Ida Aminah Abdul Mahat, 42, berkata, anak kedua daripada tujuh beradik itu dalam perjalanan dari rumah di Bukit Gambir ke tempat kerja di Bangi, Selangor.

“Kali ini, Hafiz agak pendiam semasa pulang ke kampung. Namun, apa yang membuatkan saya sebak adalah Hafiz menghantar kiriman WhatsApp menyatakan mahu menjadi anak yang lebih baik dua minggu lalu,” katanya ketika ditemui di Hospital Tampin. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI