fbpx
INILAH besi menara kren yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan SS2/24, Petaling Jaya kelmarin.

Nyawa wanita nyaris melayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Nyawa seorang wanita nyaris melayang selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya dihempap besi menara kren yang terjatuh dari sebuah treler dalam kejadian di Jalan SS2/24 di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.45 petang itu, wanita berusia 25 tahun tersebut bernasib baik apabila mangsa dilaporkan tidak me­ngalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, ketika kejadian, wanita tersebut difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Katanya, ketika melalui lokasi kejadian, besi menara kren tiba-tiba terjatuh dari sebuah treler dan menghempap kereta dipandunya.

“Kejadian itu menyebabkan bumbung, cermin hadapan dan bahagian lain kereta tersebut rosak, namun mangsa terselamat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ujarnya, siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada bahagian hadapan tre­ler yang membawa muatan besi menara kren itu tersangkut pada kabel telefon.

Besi menara kren itu kemudiannya terjatuh dan menghem­pap bahagian atas kereta mangsa.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan dua batang tiang telefon di lokasi kejadian tumbang dan kabel telefon merentangi jalan.

“Pihak polis juga bergegas ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan lalu lintas yang sesak akibat kejadian tersebut.

“Kami telah memberi bantuan awal kepada mangsa sebelum dia membuat laporan polis, manakala pemandu treler belum lagi tampil membuat laporan setakat ini (semalam),” ujarnya.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka bawah Peraturan 19 (Kaedah Lalu Lintas) 166/59 kerana muatan yang dibawa atas kenderaan jatuh dan mengakibatkan kemalangan.

Kejadian itu berlaku tidak lama selepas seorang pemandu wanita patah tangan dan tulang rusuk kirinya apabila sebuah bongkah konkrit pembinaan Le­buh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) terjatuh dan menghem­pap kereta yang dipandu mangsa.

Kejadian pada pukul 4.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang berusia 25 tahun melalui Jalan Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran sebuah stesen minyak di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.

Sebelum ini juga seorang tenaga pe­ngajar sekolah memandu maut selepas kereta dipandunya ditimpa besi winch kren yang dipercayai terjatuh dari sebuah kenderaan berat yang sedang bergerak di Kilometer 91 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, Maran, Pahang pada bulan lalu.

Besi winch kren itu seberat kira-kira setengah tan.

Ibu mangsa yang turut berada di dalam kereta jenis Perodua Axia tersebut pula mengalami kecederaan parah. Bagaimanapun, setakat ini pemandu jentera berat terbabit belum dapat dikesan.

POPULAR