fbpx
Emosi Muhammad Syukur terganggu menyaksikan banyak kerbau peliharaan bapanya yang menjadi rakan sepermainannya sejak kecil mati akibat hawar berdarah.

Ujian buat Syukur, pelajaran buat kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MOHD. AZLI ADLAN,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Syukur Khamis atau dikenali sebagai ‘Mogwli Malaysia’ kini sedang diuji dengan kematian mengejut hampir separuh daripada kerbau ternakan mereka.

Setakat kelmarin, 52 ekor kerbau dipelihara Khamis Jusoh, 64, yang menetap di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu telah mati akibat serangan wabak Hemorhagic Septicemia atau hawar berdarah.

Wabak tersebut yang menye­rang kerbau-kerbau Khamis sejak 9 September lalu telah menyebabkan penternak itu kerugian lebih RM200,000 dalam sekelip mata.

Musibah tersebut pasti menjejaskan emosi Muhammad Syukur yang sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan haiwan berkenaan.

Apatah lagi, dua kerbau kesa­yangannya, Semek dan Tokol yang sering menjadi teman untuk sesi fotografi dan telemovie turut mati.

“Saya sangat sedih sehingga tidak bersemangat pergi ke sekolah,” luah remaja itu sewaktu ditemui Kosmo! di kandang kerbau keluarganya di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Jurugambar bebas, Abdullah Mohd. Zain, 45, mengakui sesi fotografi merakam momen Muhammad Syukur bermesra dengan kerbau pasti semakin mencabar selepas ini selepas kejadian tersebut.

Dia yang dikenali sebagai Dallah Deen dan merupakan antara jurugambar terawal merakamkan foto Mogwli Malaysia tahun lalu berkata, bukan mudah me­latih kerbau jinak baharu seperti Semek dan Tokol.

“Apa yang penting, musibah yang telah meragut banyak nyawa haiwan peliharaan Muhammad Syukur ini tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk mencapai cita-cita menjadi penternak yang berjaya.

“Doakan wabak (hawar berdarah) ini cepat berakhir, sudah pasti Muhammad Syukur amat terkesan dan sedih” katanya.

Pada sisi lain, kisah yang tular ini bukan sekadar menimbulkan simpati masyarakat, malah ke­sedaran kepada mereka tentang wabak hawar berdarah.

Penternak tradisional seperti Khamis pula mendapat penge­tahuan dan pengajaran berguna tentang penjagaan haiwan ternakan pada masa kini.

Khamis yang mempunyai pe­ngalaman 50 tahun sebagai penternak turut mengakui kebinggungan apabila banyak kerbau peliharaannya mati tanpa sebab.

Pengarah Jabatan Veterinar Terengganu, Dr. Mohd. Termizi Ghazali berkata, wabak hawar berdarah biasanya menyerang kerbau selain haiwan ternakan lain seperti lembu dan babi.

Beliau berkata, wabak itu di­sebabkan oleh bakteria Pasteurella multocida Carter’s Type B.

“Antara simptom penyakit ini ialah haiwan akan kemurungan, bengkak kepala, leher dan dada, mulut dan hidung berbuih dan sukar bernafas.

“Biasanya haiwan ternakan yang terkena hawar berdarah dan kurang antibodi badan akan mati dalam tempoh lapan hingga 24 jam selepas dijangkiti,” ujar­nya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatan kuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, penyakit hawar berdarah terbabit boleh dicegah dengan suntikan vaksin.

“Jabatan Perkhidmatan Ve­terinar memberi perkhidmatan suntikan vaksin secara percuma tetapi malangnya kita alami sedikit kesukaran kerana masih ramai penternak yang masih tidak cakna dan enggan beri kerjasama.

POPULAR