fbpx
Seorang penduduk di kawasan PKPD Kota Setar melakukan ujian saringan Covid-19 di Hospital Alor Setar di Alor Setar kelmarin

Cabaran besar hadapi enam kluster Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

GELOMBANG besar penularan Covid-19 di Kedah bermula de­ngan Kluster Sivagangga pada 28 Julai lalu diikuti Kluster Tawar, Muda, Sala, Telaga dan yang terbaharu, Sungai.

Penularan wabak tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan tiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

PKPD bagi Kluster Sivagangga bermula pada 3 Ogos lalu dan berakhir pada 26 Ogos lalu melibatkan Mukim Ah, Hosba dan Binjal dalam daerah Kubang Pasu serta Mukim Padang Sanai di daerah Padang Terap.

Pelaksanaan PKPD bagi kluster tersebut juga dilaksanakan di Kuala Sanglang, Perlis.

Kerajaan kemudian melaksanakan perintah kawalan pergerakan sama di Amanjaya, Su­ngai Petani berikutan penularan Kluster Tawar disusuli 28 mukim di daerah Kota Setar bagi Kluster Sungai dan Telaga.

PKPD ini melibatkan hampir 400,000 penduduk setakat ini.

Sebahagian penduduk yang merupakan kontak rapat dan mempunyai kaitan dengan kes positif akan dipakaikan gelang merah jambu dan putih dan perlu­ menjalani kuarantin di rumah.

Tekanan yang dialami penduduk bukan sahaja kerana diarahkan duduk di rumah, tetapi perlu berdepan pelbagai isu lain seperti masalah kewangan dan keperluan bekalan makanan.

Di Napoh dalam Mukim Hosba,­ seorang peniaga kedai runcit, Ali Ibrahim, 54, mendedahkan bahawa ramai dalam kalangan penduduk kampung yang menyara hidup sebagai peniaga, penoreh getah dan pesawah terpaksa memecahkan tabung untuk mengambil syiling buat belanja harian.

“Mereka datang beli bekalan makanan dengan duit syiling dari tabung selain ada yang mahu menukarnya dengan wang kertas untuk berbelanja.

“Saya kasihan melihat kesempitan hidup mereka yang terputus sumber pendapatan kerana tidak dibenarkan keluar bekerja lebih 20 hari,” katanya.

Di Amanjaya pula, kira-kira 22,360 penduduk sengsara apabila sukar untuk memperoleh bekalan barangan basah pada minggu pertama pelaksanaan PKPD kerana kebanyakan premis di kawasan perumahan tutup.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kerajaan perlu mempunyai perancangan yang rapi sebelum PKPD dilaksanakan di sesuatu tempat.

“Kerajaan diminta memberi lebih perhatian dalam aspek kebajikan penduduk di kawasan PKPD termasuk tumpuan kepada golongan terputus sumber pendapatan, keperluan bekalan makanan, kemudahan petrol dan kaedah pengeluaran wang.

“Selain itu, aspek-aspek utama­ lain seperti rawatan kesihatan juga perlu dititikberatkan,” katanya di sini semalam.

Kata beliau, dia sebelum ini menerima rungutan daripada sebilangan penduduk yang terlibat dalam PKPD Kluster Sivagangga.

“Mereka mendakwa terpaksa makan telur dan sardin hampir setiap hari kerana tiada duit selain sukar mendapatkan bara­ngan basah,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga berpendapat agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibenarkan masuk ke kawasan PKPD untuk membuat pengagihan sumbangan dengan kawalan pihak berkuasa serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Jika hanya Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dibenarkan masuk untuk membuat agihan, sumbangan akan sampai lewat dan mungkin tidak menyeluruh,” ujarnya.