fbpx

Sibuk belajar tidak kekang minat Chun Kiet berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK – Berkongsi keun­tungan memasarkan produk minyak wangi bersama rakan-rakan Melayu menjadi amalan peniaga muda berketurunan Cina di Kampung Gunung di sini sejak dua tahun lalu.

Penuntut tahun akhir Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pua Chun Kiet, 24, berkata, perniagaan di bawah syarikat miliknya, Farkeith Enterprise yang menjual pelbagai minyak wangi yang memiliki haruman menarik telah mendapat so­kongan da­ripada pelanggan.

Menurutnya, pa­da awal ope­rasi, dia hanya membuka peluang bisnes kepada rakan sekampung dan seterusnya dalam kalangan penuntut di kampus universiti berkenaan.

Dalam masa sama, dia memilih pasar malam untuk mempromosikan produk keluarannya kerana pada siang hari, dia akan memberi tumpuan kepada penga­jiannya dan menghadiri kuliah.

 

“Namun, saya gunakan masa terluang pada hujung minggu untuk menjual produk di kedai-kedai makan berdekatan  universiti.

“Bagi melengkapkan lagi rangkaian pemasaran sedia ada, saya membantu kawan-kawan yang memerlukan wang untuk me­nyara keluarga dengan mempe­lawa mereka menjadi pengedar,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini baru-baru ini.

Chun Kiet menerangkan, produk minyak wanginya yang memiliki keunikannya tersendiri mampu bersaing dengan produk berjenama popular di pasaran.
“Saya berjaya menghasilkan pewangi tempatan yang berkua­liti dan dipasarkan dengan harga jauh lebih murah,” katanya.

Sehingga kini, syarikatnya telah mengeluarkan tiga jenis aroma haruman khas untuk lelaki dan empat jenis haruman wa­nita dihasilkan dengan memberi nama panggilan mudah se­perti Awe Bakawi, Mek Bunga, Mek Buoh, Mek Duyung dan lain-lain.

“Produk ini dijual pada harga mampu milik iaitu RM20 untuk sembilan mililiter (ml) dan RM35 bagi 25ml dan mampu bertahan lebih daripada 24 jam.

Mengulas mengenai penca­paian jualan syarikat yang dicatat sehingga kini, Chun Kiet berkata, sehingga kini, ia telah mencecah kepada 2,000 botol seminggu.

POPULAR