fbpx

Kuala Lumpur fokus capai sasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONE (kiri) berjaya meledak dua gol buat Kuala Lumpur ketika menewaskan TFC II pada aksi Liga Premier, Sabtu lalu. - FB KUALA LUMPUR HAWKS

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Muhammad Nidzham Adzha Yusoff enggan menjadikan pertemuan menentang Pulau Pinang sebagai penentu kepada kejuaraan Liga Premier musim ini.

Bagi Nidzham, beliau lebih berminat memberikan fokus sepenuhnya untuk mencapai sasaran pihak pengurusan iaitu layak ke pentas Liga Super musim depan sebagai dua pasukan terbaik Liga Premier.

“Saya tidak fikirkan apa-apa mengenai kejuaraan liga walaupun ramai mengatakan aksi dengan Pulau Pinang selepas ini umpama penentu kejuaraan. Matlamat saya sama seperti ditetapkan pengurusan iaitu layak ke Liga Super 2021,” katanya.

Dalam masa sama, Nidzham memuji kecemerlangan barisan pemainnya selepas menang besar 4-1 ke atas pasukan tangga ketiga, Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi ketujuh Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu lalu.

Empat gol Kuala Lumpur diperoleh menerusi dua jaringan Kouassi Francis Kone dan masing-masing satu daripada Paulo Josue serta Zhafri Yahya.

PARA pemain Kuala Lumpur meraikan kejayaan menewaskan TFC II 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. – FB KUALA LUMPUR HAWKS

“Kami berjaya menghukum lawan yang bermain dengan skuad tidak seimbang kerana menggunakan empat pemain import di bahagian serangan.

“Kami telah mengkaji aksi pasukan lawan yang menggunakan empat pemain tempatan di barisan pertahanan, jadi kami mengambil kesempatan daripada aspek itu.

“Bagaimanapun, masih ada aspek yang perlu diperbaiki dalam setiap perlawanan,” jelas Nidzham.

Kemenangan itu menyaksikan Kuala Lumpur kekal menghuni tangga kedua menerusi kutipan 15 mata sama dengan Pulau Pinang yang kini menerajui carta Liga Premier berdasarkan perbezaan jumlah jaringan gol.

Pertemuan Kuala Lumpur dengan Pulau Pinang pada Sabtu ini amat menarik untuk disaksikan kerana kedua-dua pasukan masih belum mencatatkan kekalahan daripada tujuh perlawanan setakat ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI