fbpx

Gabungan PN telah didaftarkan dan diluluskan – RoS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pendaftaran parti Perikatan Nasional (PN) telah diluluskan dan berkuat kuasa pada 7 Ogos 2020 di bawah kategori politik selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam satu kenyataan berkata, parti berkenaan telah didaftarkan melalui pengeluaran sijil pendaftaran PPM-019-14-07082020 yang dilulus dan ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan.

Menurutnya, sijil pendaftaran, logo parti dan perlembagaan parti telah ditandatangani dan dikemukakan kepada PN sebaik sahaja pendaftarannya diluluskan.

“Sehubungan itu, RoS sekali lagi menegaskan bahawa kenyataan bahawa PN tiada rekod daftar parti tidak berasas sama sekali,” katanya.

Jabatan itu berkata, dakwaan bahawa maklumat kelulusan PN tidak terdapat dalam sistem RoS tidak benar.

“Sistem di laman sesawang RoS bagi kelulusan sesebuah pertubuhan dikemas kini secara automatik setiap dua bulan dan kelulusan PN hanya akan tertera dalam carian umum laman sesawang pada awal Oktober.

“Ini memandangkan PN diluluskan pada Ogos 2020,” katanya.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, sekiranya ada carian khusus dalam sistem pertubuhan eROSES, ia akan jelas memaparkan PN diluluskan pada 7 Ogos.

“Maklumat parti yang terdapat dalam sistem eROSES hanya boleh diakses oleh setiausaha parti tersebut sahaja,” katanya.

Isu pendaftaran PN menjadi hangat apabila Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman hari ini mendedahkan tiada rekod pendaftaran gabungan politik itu.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin turut menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan pendaftaran PN. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI