fbpx

K2

Ancaman penyakit wanita obes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANITA yang mempunyai berat badan berlebihan harus segera mengubah cara hidup agar dapat mengecapi kehidupan yang lebih sejahtera. –Gambar hiasan

BERPENGALAMAN sebagai doktor selama 25 tahun dengan kepakaran dalam bidang perbidanan dan sakit puan serta sub-kepakaran dalam bidang kanser organ-organ reproduktif wanita, penulis banyak terlibat dalam perawatan kanser serta melakukan pembedahan dan memberi ubat-ubatan kemoterapi kepada pesakit tertentu.

Perkongsian penulis mungkin lebih khusus pada masalah kesihatan wanita, tetapi itu tidak bermakna kaum Adam tidak perlu membacanya.

Setiap daripada kita akan ada wanita dalam hidup seperti ibu dan isteri.

Saya ingin menyentuh masalah obesiti dalam kalangan wanita sebagai isu yang hendak diketengahkan dalam ruangan ini.

Sesungguhnya masalah obesiti tidak boleh dianggap remeh.

Obesiti secara takrif berlaku apabila berat badan seseorang jauh melebihi apa yang dipanggil berat badan ideal bagi ketinggian seseorang.

Ia berdasarkan nilai indeks jisim badan (BMI). Jika BMI anda kurang daripada 20, anda dianggap tidak cukup berat, manakala 20 hingga 25 adalah dianggap ideal.

Sementara itu, jika BMI antara 25 hingga 30 adalah dalam kategori terlebih berat, 30 ke atas dianggap obes dan 40 ke atas diistilahkan morbid obesity (obesiti yang amat bahaya).

Banyak cabaran dihadapi individu obes termasuk wanita. Ia melibatkan seluruh organ dan sistem dalam badan.

Daripada aspek sakit puan, kesan paling ketara adalah dapat menjejaskan kitaran haid dan kesuburan seseorang wanita. Ramai wanita yang mengalami kitaran haid tidak teratur yang mengganggu rutin harian mereka.

 

PERBANDINGAN hati sihat dan tidak sihat

 

Berbulan-bulan tiada haid, apabila datang, berbulan-bulan pula tidak berhenti.

Perubahan hormon wanita yang tidak normal pula turut menggalakkan pertumbuhan sel-sel berbahaya di dalam rahim (pada dinding atau endometrium).

Sel-sel yang dipanggil endometrial hyperplasia ini boleh berubah menjadi kanser jika tidak dirawat dengan cepat.

Bagaimana obesiti menjadi puncanya? Hati adalah tempat kawalan kestabilan kebanyakan hormon badan, lebih-lebih lagi hormon wanita yang mengawal kesuburan dan kitaran haid.

Apabila seseorang itu obes, sel-sel hati akan dipenuhi lemak, menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan baik.

Bukan setakat hormon seks menjadi kacau-bilau, begitu juga dengan kawalan gula dalam darah, kawalan hormon tiroid dan pelbagai fungsi lain.

Orang obes lebih senang mendapat penyakit kencing manis, darah tinggi, masalah kolestrol ‘jahat’ yang tinggi dan saluran jantung tersumbat, sakit jantung, angin ahmar serta masalah lain.

Sakit sendi dan tulang kerap berlaku kerana rangka badan terpaksa menampung berat berlebihan.

Untuk mengatasi masalah obesiti, pertama sekali pesakit perlu mengakui ada masalah berat badan dan seikhlas hati mahu menurunkannya.

Seterusnya perlu berjumpa pakar diet dan mula mempraktikkan pemakanan sihat. Dalam hal ini, gaya hidup sihat dan aktiviti beriadah turut memberi manfaat besar.

Doktor sakit puan boleh membantu mengesan masalah-masalah lain seperti hiperplasia, PCOS (polycystic ovarian syndrome) serta kencing manis untuk diberi rawatan sepatutnya.

Bagi kebanyakan wanita obes, penurunan berat badan berserta aktiviti riadah sahaja sebenarnya sudah mampu mengembalikan kitaran haid dan kesuburan mereka tanpa perlu ubat-ubatan jangka panjang.

Mungkin pada awalnya ia agak susah, tetapi hasilnya amat memberangsangkan.

Bak kata pepatah, kalau tak dipecahkan ruyung, mana kan dapat sagunya. Semoga kita rajin beriadah dan menjaga kesihatan bagi memastikan BMI pada tahap paling ideal.

——————————————————————————————————————

DR. ZAMZIDA YUSOFF ialah Pakar Perunding Kanan Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Ipoh, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI