fbpx

K2

Srikandi kesusasteraan Ninot Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NINOT menunjukkan raknya yang dipenuhi buku-buku kisah rakyat dari dalam dan luar negara.

SEBAIK melangkah masuk ke rumahnya, mata penulis dihidangkan dengan rak-rak buku yang memenuhi ruang tamu rumah dua tingkat itu. Aneka buku fiksyen, kisah rakyat, hikayat, epik dan karya klasik dari pelbagai negara memenuhi ruangan rak-rak itu.

Buku-buku itu milik Zalina Abdul Aziz, atau lebih dikenali dengan nama pena, Ninot Aziz. Pengamal perhubungan awam sepenuh masa itu juga adalah penulis yang memberi nafas baharu kepada hikayat-hikayat Melayu dan Nusantara klasik. Sebanyak 10 buku nukilannya yang mengolah hikayat-hikayat lama.

Hikayat secara definisinya ialah karya sastera yang berisi cerita, sejarah atau fiktif bertujuan untuk hiburan, pembangkit semangat juang dan memeriahkan pesta.

Semuanya bertitik-tolak daripada pengalaman wanita itu membaca hikayat kesusasteraan Melayu dan Nusantara sejak sekolah rendah, selain sering terlibat dalam persembahan cerita-cerita rakyat di sekolah. Hikayat Malim Deman, Hikayat Awang Sulong Merah Muda, dan Sejarah Melayu antara kisah hikayat yang menarik perhatiannya sejak kecil lagi.

Dilahirkan di Tasmania, Australia, wanita ini kemudian dibesarkan di Kampung Chenor, Temerloh, Pahang.

“Semasa berumur 11 tahun, saya sering menulis sajak dalam bahasa Inggeris dan sering menyumbangkan sajak untuk buletin sekolah yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

“Sejak dari itu, saya mula minat menulis,” katanya kepada K2 ketika ditemui di rumahnya di Rawang, Selangor.

Ninot membawa minat mendalamnya terhadap kesusasteraan dan tradisi Nusantara sehingga ke alam pekerjaan, apabila sering menganjurkan persembahan-persembahan kebudayaan termasuk berkaitan wayang kulit dan zapin.

Namun, detik yang benar-benar menggerakkan hatinya untuk ‘menyelongkar’ semula hikayat sekali gus menulisnya adalah apabila anaknya mula membaca buku kisah-kisah dongeng Barat seperti Cinderella dan Snow White.

“Melihatkan ketiadaan bahan bacaan hikayat Melayu untuk anak saya, timbul idea untuk menulis mengenainya. Selain itu, saya mahu rakyat Malaysia berbangga dengan keindahan hikayat-hikayat Melayu,” jelasnya yang meraih pelbagai anugerah dalam Anugerah Calistro di peringkat kebangsaan.

Menurutnya, kisah-kisah hikayat sebenarnya mencerminkan keindahan budaya Nusantara dan ketinggian bahasa atau pemikiran masyarakatnya yang merakamkan sejarah dalam bentuk seni sastera supaya mudah diterima serta dihadam minda.

Seni bina lama

Bagi buku pertamanya, From the Written Stone: An Anthology of Malaysian Folklore, Ninot mengambil masa enam tahun untuk melakukan kajian.

“Kajian itu melibatkan sejarah, watak, jalan cerita selain elemen lukisan kerana lukisan penting untuk menggambarkan zaman watak-watak dalam hikayat itu,” ceritanya lagi.

Ninot mengkategorikan hasil-hasil karyanya kepada dua iaitu novel dan hikayat. Bagi novel, Ninot menggunakan inspirasi daripada hikayat sedia ada lalu mencipta plot untuk watak-watak itu. Judul Kirana: Dreams After the Rose, Siti: Queen of the Estern Skies, Naga: A Legend of Tasik Chini dan Nik and The Secret of the Sunset Ships adalah contoh novel yang dihasilkannya.

SEBAHAGIAN novel dan buku hikayat nukilan Ninot.

Bagi kategori kedua pula, Ninot mengolah semula dengan mengekalkan jalan cerita, namun menggunakan laras bahasa Inggeris yang disesuaikan dengan pembaca masa kini, seperti bukunya yang berjudul Hikayat: From the Ancient Malay Kingdoms.

Memandangkan hikayat-hikayat sudah banyak ditulis dalam bahasa Melayu, Ninot memulakan penulisan hikayatnya dalam bahasa Inggeris dengan harapan kisah-kisah dari Nusantara ini akan dapat diketengahkan di peringkat antarabangsa.

Ujarnya, sambutan untuk karya-karyanya tidak terhad kepada satu-satu golongan atau kaum.

“Saya pernah mendapat jemputan oleh Fakulti Seni Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana mereka ingin tahu mengenai seni bina lama yang dikisahkan dalam hikayat-hikayat Melayu.

“Pihak Balai Seni Visual Negara juga pernah meminta saya menghuraikan mengenai manuskrip Melayu semasa pameran karya Leonardo Da Vinci, Mona Lisa pada tahun lalu. Saya diminta memberi penerangan tersebut untuk menunjukkan perbandingan dengan manuskrip Itali,” jelasnya.

Bagi golongan kanak-kanak pula, minat terhadap hikayat Melayu tidak terhad kepada anak-anak tempatan.

“Saya pernah membuat sesi bercerita di sekolah antarabangsa dan juga sekolah pelarian Rohingya.

“Permintaan terhadap buku hikayat ini datang dari segenap lapisan masyarakat dan tidaklah memeranjatkan kerana Melayu ini tinggi budayanya,” katanya yang memberitahu, hikayat Bidasari yang diceritakan dalam buku Bidasari and the Djinn juga pernah dipentaskan oleh kanak-kanak Sekolah Rendah Antarabangsa Sri KDU dan sekolah-sekolah lain.

Selain daripada menghiburkan dan memberi pengajaran, terdapat inspirasi untuk golongan wanita dalam kisah-kisah hikayat Melayu seperti yang dihimpun dalam buku Srikandi karya Ninot.

Namun, baginya, kekuatan hikayat Melayu lebih daripada sekadar cerita lisan. Hikayat juga boleh menjadi ‘senjata’ ampuh untuk melawan naratif penjajah yang mengubah penceritaan bangsa dengan memasukkan naratif mereka. Ninot berkata, keadaan ini sama dengan sikap penjajah membangunkan struktur binaan mereka di atas runtuhan bangunan yang dibina kerajaan-kerajaan Melayu terdahulu, seperti yang terjadi di Patani, Melaka dan Singapura.

“Sebagai contoh, di Singapura, dalam penceritaan arus perdana, garis masa banyak bermula sejak kedatangan Inggeris, namun melalui hikayat, kita tahu ada kerajaan Melayu ratusan tahun meliputi lima keturunan sebelum Stamford Raffles tiba.

“Banyak hikayat ada kaitan dengan kerajaan Melayu purba sebelum era kolonisasi, jadi di mana cerita itu? Perkara seperti ini yang saya masukkan dalam buku-buku saya,” katanya.

Setelah 20 tahun menulis dalam bahasa Inggeris, Ninot kini mula mengarang dalam bahasa Melayu. Lipur Lara Nusantara. Karya terbaharunya itu membawa pembaca menggali sejarah menerusi cerita rakyat, hikayat dan legenda sebagai teladan kepada generasi sekarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI