fbpx

Bekalan air di tujuh wilayah pulih sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air yang menjejaskan lebih lima juta pengguna di Lembah Klang ekoran pencemaran bau di Sungai Gong, Rawang sejak Khamis lalu telah pulih sepenuhnya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, kesemua tujuh wilayah yang terjejas sebelum ini telah menerima bekalan sejak pukul 7 pagi tadi.

Beliau berkata, tujuh wilayah yang terlibat ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih di atas kesabaran para pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Sentiasa gunakan air secara berhemah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Elina, sebarang pertanyaan dan bantuan, pengguna boleh merujuk semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI