fbpx

Op Methanol tumpaskan sindiket minuman keras di Lembah Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA botol minuman keras tiruan yang dirampas dalam tiga siri Op Methanol di Klang, Selangor pada 26 Ogos lalu

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket berkaitan minuman keras yang bergiat aktif di Lembah Klang menerusi tiga siri Op Methanol oleh Pasukan Gerakan Khas (PGK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di sekitar kawasan Klang, Selangor pada 26 Ogos lalu.

Timbalan Pengarah (Gerakan) KDNKA, Datuk Azri Ahmad berkata, dua lelaki Cina tempatan berusia 31 dan 44 tahun ditahan dalam serbuan pertama yang melibatkan rampasan 435 kotak (10,440 tin) minuman keras jenis bir dan dua kenderaan jenis Proton Persona dan van Jin Bei.

“Kedua-dua suspek yang terlibat telah ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor selama tujuh hari bermula 27 Ogos lalu di bawah Seksyen 116c Akta Kastam 1967. Salah seorang suspek memiliki satu rekod jenayah lampau,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pagi semalam.

Menurut beliau, PGK melakukan serbuan kedua di kawasan Taman Klang Utara, Selangor, susulan maklumat daripada serbuan pertama.

Antara barang rampasan dalam serbuan kedua itu termasuklah 409 kotak (14,090 botol) minuman keras dipercayai tiruan, segulung stiker setem cukai Jabatan Kastam Diraja yang disyaki palsu, beberapa gulung stiker minuman keras pelbagai jenama, dua mesin pengedap penutup botol minuman keras buatan sendiri.

Selain itu, empat tangki air stainless steel dan tiga tong plastik masing-masing dipercayai mengandungi cecair alkohol serta beberapa peralatan untuk memproses minuman keras tersebut turut dirampas.

“Dalam serbuan ketiga yang dilancarkan di Kampung Sungai Pinang, dua lelaki warga Bangladesh berusia 32 dan 42 berjaya ditangkap.

“Barang rampasan dalam serbuan ini termasuk 141 kotak (3,384 tin) dan 66 kotak (2,031 botol) minuman keras pelbagai jenama serta sebuah van jenama Toyota Hiace,” jelasnya.

Suspek ditangkap dan ditahan reman di IPD Klang Utara selama 14 hari bermula 27 Ogos lalu. Mereka ditahan di bawah Seksyen 55(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Secara keseluruhannya, hasil rampasan melibatkan minuman keras tiruan jenis wiski dan brandi dengan nilai anggaran RM390,849; minuman keras jenis bir tanpa bayar cukai dianggarkan bernilai RM100,800, tiga kenderaan bernilai RM42,000 dan peralatan memproses minuman keras tiruan bernilai RM6,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI