fbpx
GAMBAR diambil pada November 2017 ketika Messi (kanan) menandatangani kontrak lanjutan bersama Barcelona yang menyaksikan dia kekal di Camp Nou sehingga 2021. – AFP

Messi tiada peluang lawan Barcelona

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA – Lionel Messi secara rasmi telah menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan Barcelona yang disertainya sejak berusia 13 tahun yang dikatakan berpunca daripada hubungan yang tidak harmoni dengan Pre­siden kelab itu, Josep Maria Bartomeu sejak 12 bulan lalu.

Peguam yang mewakili Messi membuat rujukan terhadap kontrak yang ditandatangani pemain itu pada 2017 yang menyebut dia dibenarkan untuk meninggalkan pasukan secara percuma pada musim terakhirnya dengan syarat ia perlu dimaklumkan kepada pihak pasukan sebelum 10 Jun 2020.

Pada kebiasaan, Jun adalah bulan terakhir perlawanan dilangsungkan sebelum jendela perpindahan dibuka tetapi kali ini adalah berbeza apabila pandemik koronavirus yang menye­rang menyebabkan jadual perlawanan bola sepak di seluruh dunia berubah.

Apa yang menimbulkan perbahasan bagi pihak Messi adalah mengenai tarikh berkenaan apabila ia tidak lagi menjadi re­levan berikutan berlaku perubahan jadual dan perlawanan untuk musim 2019/2020 yang diheret sehingga Ogos.

Bagaimanapun, Barcelona menolak dakwaan berkenaan dan kekal dengan tarikh yang termaktub di dalam kontrak selain tegas dengan pendirian bahawa pasukan yang mahu mendapatkan Messi perlu membayar klausa pelepasannya yang bernilai £700 juta (RM3.4 bilion)

“Saya fikir Barcelona berada pada kedudukan yang lebih kuat mengenai kontrak berkenaan tetapi Messi mempunyai peluang untuk mencari kelemahan di dalam perjanjian tersebut.

“Jika Messi memberitahu Barcelona bahawa dia mahu meninggalkan kelab itu secara percuma tetapi kelab itu enggan melepaskannya, tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh pemain itu,” kata peguam sukan, Santiago Nebot yang juga merupakan penasihat undang-undang bagi pemain bola sepak di Sepanyol.

Bagaimanapun, Nebot mengakui tidak pernah melihat kontrak berkenaan sebaliknya pandangan itu dibuat berdasarkan laporan daripada media.

“Messi cuba untuk menggunakan peluang yang ada, dia mahu Barcelona duduk dan berbincang. Dia cuba menggunakan klausa berkenaan sekiranya ia masih boleh dimanipulasikan walaupun tidak banyak yang mampu dilakukan,” jelasnya.

Kelmarin, Setiausaha Teknikal Barcelona, Ramon Planes mengesahkan bahawa pihaknya kini sedang bekerja keras untuk memujuk Messi kekal di Camp Nou. – AGENSI