fbpx
Mohd. Fauzi (kanan) dan Mohd. Nasir dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menipu. Foto RAJA JAAFAR ALI

Dua bekas pegawai didakwa menipu RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Dua bekas pegawai di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu sebuah syarikat membabitkan kerugian RM100,000 empat tahun lalu.

Tertuduh iaitu bekas timbalan pengarah bahagian pendidikan JAINJ, Mohd. Nasir Amir, 58, dan pegawai pendidikan Islam, Mohd. Fauzi Arshad, 52, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga ketiga, Mohd. Nasir didakwa menipu dan memperdaya pemilik Syarikat Didik Teguh Enterprise supaya menyerahkan sumbangan RM50,000 kepada Badan Kebajikan Bahagian Pendidikan JAINJ.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Pandan Uptown Restoran dan Taman Desa Tebrau antara 7.30 hingga 11.30 malam, dari 29 Februari, 14 April dan 28 hingga 30 September 2016.

Pertuduhan keempat pula, Mohd. Fauzi didakwa memperdaya syarikat yang sama supaya menyerahkan RM50,000 sebagai bayaran royalti penulis-penulis Buku Latihan Aktiviti (BLA) keluaran Persatuan Guru Agama Negeri Johor (Persaga).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Islam Iskandar Johor Bahru pada pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang antara 18 hingga 20 April 2020.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Rosli Kamaruddin.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN