fbpx

Perancangan kewangan untuk waktu kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR Fazleen mengingatkan orang ramai agar membuat simpanan dari sekarang dan tiada istilah terlambat untuk berbuat demikian.

SEJAK pandemik Covid-19 melanda dunia pada awal tahun ini, ramai orang kehilangan pekerjaan apabila banyak syarikat besar mahupun kecil terpaksa menutup operasi kesan daripada penularan virus tersebut. Hidup menjadi sukar apabila tiada sumber kewangan mencukupi untuk menampung keperluan harian dan komitmen lain setiap bulan sebelum mendapat kerja baharu.

Sehubungan itu, adalah penting untuk membuat simpanan melalui dana kecemasan kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa akan datang. Covid-19 banyak memberi pengajaran kepada kita, tentang pengurusan kewangan untuk masa hadapan agar dapat mengharungi waktu kritikal dengan baik.

Bagi membincangkan isu perancangan kewangan dengan lebih lanjut, wartawan Kosmo! Ahad, Zubaidah Ibrahim menemu bual Pengurus Besar Bahagian Operasi, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Nor Fazleen Zakaria di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Dalam keadaan dunia dilanda pandemik Covid-19, bagaimana cara terbaik untuk orang ramai mengurus tabungan khas yang disimpan bagi kegunaan waktu kecemasan?

Nor Fazleen: Dana kecemasan mempunyai satu tujuan kritikal iaitu membantu kita menampung semua perbelanjaan sekiranya hilang pendapatan atau pekerjaan.

Adalah penting untuk kita mempunyai amaun mencukupi dalam dana kecemasan bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk bayaran pinjaman bagi tempoh sekitar tiga hingga enam bulan.

Orang ramai dinasihatkan agar membuat tabungan dana kecemasan secara berasingan dan tidak menempatkannya bersama tabungan lain.

Cukupkan tabungan dana kecemasan terlebih dahulu dan setelah itu, buat simpanan baharu untuk tujuan lain pula.

Disiplinkan diri untuk membuat simpanan sehingga ia benar-benar cukup dan sebaiknya tabungan kecemasan itu berbentuk tunai.

Harus diingat bahawa tabungan kecemasan hanya untuk kegunaan kecemasan sahaja.

Bagaimana puan melihat kesedaran rakyat Malaysia tentang perlunya tabungan terutamanya simpanan khas pada waktu kecemasan?

Kaji selidik AKPK mendapati, 88 peratus daripada responden mengambil moratorium yang mana 48 peratus daripada mereka mengatakan ia adalah sebagai simpanan kecemasan.

Selain itu, AKPK Financial Behaviour Survey 2018 (AFBes’18), iaitu kaji selidik AKPK tentang tingkah laku kewangan pekerja dewasa Malaysia seluruh negara mendapati, dua daripada 10 rakyat Malaysia sukar untuk menyimpan dalam tempoh enam bulan.

 

 

Kajian daripada Bank Negara juga mendapati, 75 peratus daripada rakyat negara ini tidak mempunyai simpanan sebanyak RM1,000.

Kesimpulan daripada semua kajian di atas menunjukkan tahap kesedaran kewangan rakyat Malaysia masih rendah, terutama sekali dalam membuat simpanan kecemasan.

Berapa peratus daripada gaji perlu diperuntukkan dalam tabungan khas itu?

Tanpa mengira berapa pendapatan seseorang, simpanan adalah sesuatu yang harus dilakukan.

Adalah lebih baik menyimpan dengan mempunyai matlamat.

Sebagai contoh, anda ingin memiliki rumah dalam tempoh tertentu, berapakah simpanan yang perlu dijana setiap bulan?

Berapa banyak sebenarnya yang perlu disimpan? Berapa lama hendak menyimpan?

Sekiranya matlamat anda mahu menyimpan adalah untuk jangka masa panjang seperti persaraan, maka perancangan perlu lebih tersusun dengan melakukan garis masa, di mana hendak simpan, bagaimana harus dilakukan dan sebagainya.

Begitu juga untuk hidup yang lebih selesa selama 20 hingga 30 tahun akan datang selepas berhenti kerja.

Anda perlu fikirkan berapa yang anda perlukan untuk kehidupan tersebut.

Bagaimana puan melihat peratusan orang muda di negara ini yang mengambil langkah sediakan payung sebelum hujan dengan membuat tabungan tersebut setiap bulan?

Menerusi AFBes’18 mendapati, tahap kesejahteraan kewangan di kalangan orang dewasa yang bekerjadi Malaysia pada tahap yang rendah.

Sementara Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK setakat Jun 2020 menunjukkan, 13.7 peratus yang menyertai program adalah mereka di bawah usia 30 tahun.

Berdasarkan data di atas, ia menunjukkan ramai golongan muda dilihat masih memandang ringan perkara berkaitan persediaan kewangan untuk menempuh waktu kecemasan.

Selain daripada tabungan khas, apakah perkara yang perlu dilakukan untuk kita menghadapi waktu-waktu kecemasan pada masa akan datang?
Wabak Covid-19 menyaksikan ramai rakyat Malaysia yang terjejas kewangan mereka sehingga memberikan impak kepada kesejahteraan ekonomi diri dan keluarga.

Justeru, orang ramai disarankan agar mempelbagaikan pegangan aset kerana kita tidak tahu aset mana yang akan naik atau turun nilainya pada satu-satu masa.

Aset yang boleh dicairkan amat penting bagi menghadapi musim gawat dan antara aset yang paling mudah ditunaikan adalah seperti deposit tetap, Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Selain itu, mengambil pelan perlindungan takaful untuk diri dan aset juga disarankan di samping menambah simpanan sedia ada.

Adakah wajar diadakan satu undang-undang khas untuk semua pekerja membuat caruman tabung kecemasan pada setiap bulan?

Untuk dijadikan sebagai satu undang-undang, ia bergantung kepada banyak faktor seperti jenis dan saiz perniagaan bagi menentukan jumlah caruman atau potongan, jumlah pekerja, jenis industri dan sebagainya.

 

 

Bagaimanapun, apa yang boleh dilakukan adalah caruman sukarela kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau mana-mana simpanan sepertinya, potongan bulanan (auto-debit), simpanan melalui potongan gaji dan dengan membuat tabungan kecil.

Ia lebih kepada disiplin diri kerana hanya melaluinya matlamat kewangan akan dapat dicapai.

Bagaimana hendak mendisiplinkan diri untuk membuat tabungan setiap bulan?

Pelbagai cara boleh dilakukan dan yang paling penting adalah perubahan sikap untuk menguruskan kewangan dengan baik dan teratur.

Antara teknik yang boleh dipraktikkan iaitu pemotongan automatik sebahagian wang yang diterima.

Orang ramai juga boleh cuba membuat peruntukan perbelanjaan bulanan ‘sampul surat’. Contohnya, perbelanjaan makan minum sebanyak RM400, bayaran utiliti (RM200), bayaran pinjaman (RM1,000), simpanan (RM300) dan perbelanjaan keperluan anak (RM400) diagihkan ke dalam sampul surat berasingan.

Ada juga kaedah tabungan mengikut warna duit seperti hijau (RM5), merah (RM10) dan jingga (RM20).

Anda juga boleh membuat tabungan khas seperti untuk bercuti, sambutan ulang tahun dan tabung impian (keinginan untuk memiliki sesuatu barangan).

Berapa simpanan minimum sebulan yang disimpan oleh kebanyakan individu di negara ini?

AFBes’18 mendapati, mereka yang berpendapatan dibawah RM2,000 sukar untuk membuat simpanan kerana menghadapi cabaran kewangan.

Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus 2019 (RMFLS 2019) dengan kerjasama Visa pula mendapati, tidak ramai rakyat Malaysia mampu menguruskan kewangan dengan baik.

Kajian sama menunjukkan sebanyak 43 peratus rakyat Malaysia membelanjakan semua pendapatan mereka atau lebih.

Apakah nasihat puan kepada mereka yang masih belum mempunyai kesedaran untuk mempunyai tabungan khas?

Selain daripada masalah keperluan kewangan kecemasan yang telah kita hadapi, kita juga harus mengambil iktibar pandemik Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia.

Mulakan simpanan dari sekarang kerana tiada istilah terlalu awal atau terlambat untuk berbuat demikian.

Fikir jangka masa panjang; anda mahu kedudukan kewangan yang bagaimana dalam tempoh lima,10 atau 40 tahun akan datang.

Langsaikan semua hutang yang tidak perlu dan elakkan daripada menambah hutang tidak penting.
Fikirkan apa yang anda mahu untuk masa hadapan kewangan anda dan tentukan caranya untuk memastikan ia berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI