fbpx

12 juta tonton 7 Hari Mencintaiku 2, tidak mustahil ada kesinambungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EPISOD akhir 7 Hari Mencintaiku 2 berjaya meraih 5 juta tontonan.

KUALA LUMPUR – Drama rantaian popular, 7 Hari Mencintaiku 2 mencatatkan jumlah penonton 12 juta sepanjang 33 episod bersiaran dan mungkin akan ada kesinambungan.

Episod akhir drama karya novelis Siti Rosmizah itu pula berjaya meraih 5 juta tontonan.

Siti Rosmizah dalam satu kenyataan berkata, dia sangat bersyukur dengan kejayaan tersebut.

“Saya berterima kasih dengan sokongan padu yang diberikan oleh para penonton dan juga peminat karya-karya saya. Oleh itu, saya libatkan diri sebagai penerbit 7 Hari Mencintaiku 2 ini untuk memastikan keaslian kandungan novel saya seiring dengan kandungan drama yang disiarkan.

“Selain itu, saya juga berbesar hati apabila pihak TV3 setuju untuk menggunakan lagu Aku Bidadari Syurgamu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai lagu tema, kerana lirik lagu tersebut juga merupakan nukilan saya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, secara tidak langsung, pihaknya berjaya menarik peminat novel dan lagu tersebut untuk menonton drama tersebut.

“Kami menghidupkan drama ini di kaca televisyen menerusi watak-watak sampingan seperti Helmi, Fie, Nurul Ain dan banyak lagi.”

“Mengulas tentang ketularan drama ini di media sosial, saya turut mendapat mesej di laman media sosial untuk menghasilkan 7 Hari Mencintaiku 3. Sejujurnya, jalan cerita kesinambungan drama ini sudah pun ada dengan lebih banyak drama dan konflik.

“Namun, dengan izin Allah, perancangan untuk menerbitkannya dalam bentuk novel dan drama, masih dalam perancangan. Oleh itu, bagi pihak warga 7 Hari Mencintaiku 2, kami sekali lagi berterima kasih kepada semua peminat. Kami berharap agar semua penonton sentiasa memberi sokongan kepada karya-karya seni tempatan,” ujarnya.

Drama ini juga didapati tular di media sosial setiap kali bersiaran terutama mengenai watak kebaikan Khuzairi (Shukri Yahya) sebagai seorang suami, dan kebencian netizen terhadap watak Nurul Ain (Wafariena Roslan) dan Mak Leha (Liza Abdullah).

7 Hari Mencintaiku 2 ini turut dibintangi oleh Siti Saleha, Wan Sharmila, Jaja Ilyes, Faye Kusairi, Syazwan Zulkifly, Bil Azali, Jasmin Hamid dan Kazar Saisi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI