fbpx

Aznil menanti sinar ke Olimpik Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZNIL memasang impian untuk beraksi pada Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun tahun depan.

ATLET angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin tidak berputus asa dan berharap terdapat sinar baharu untuk memastikan kem angkat berat negara mampu berjuang semula untuk memburu tiket ke pentas Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Masa depan skuad angkat berat negara dikatakan musnah gara-gara isu doping apabila Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) tidak membenarkan wakil Malaysia mengambil bahagian pada temasya sukan berkenaan.

“Saya tetap berlatih se­perti biasa dan apa yang kita sedia maklum, kita tidak dibenarkan beraksi di peringkat antarabangsa. Saya juga me­nunggu keputusan daripada persatuan­ sama ada dibenarkan atau tidak untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

“Saya difahamkan ada satu kejohanan kelayakan Olimpik pada Oktober nanti selepas acara itu terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

“Saya harap jika diberikan kebenaran untuk bertanding, saya mahu lakukan yang terbaik terutama ke Olimpik,” kata atlet kelahiran Kedah tersebut.

Aznil dikatakan akan mengambil bahagian dalam ka­tegori baharu iaitu 61 kilogram (kg) berbanding kategori 62kg yang berjaya memenangi pi­ngat emas pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Ketika ini, dia juga satu-sa­tunya atlet angkat berat negara yang berpeluang cerah beraksi pada Sukan Olimpik 2020 berdasarkan prestasi dan kedudukan terkininya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya menunggu jawapan daripada IWF mengenai surat rayuan yang dihantar baru-baru ini mengenai kebenaran beraksi di peringkat antarabangsa.

“Kita faham mungkin IWF juga berdepan masalah terutama dalam kejohanan dan kita menanti keputusan daripada pihak mereka,” ujarnya.

Menurut laman web rasmi IWF, www.iwf.net, selain Malaysia, atlet angkat berat Thailand turut menerima nasib sama ekoran kedua-dua negara mencatat jumlah kes doping tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI