fbpx

Keunikan fesyen busana mewah bak bangsawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REKAAN bespoke yang mempunyai ciri kemelayuan disuntik dengan perincian-perincian indah.

GAYA berani dan versatil sering menjadi taruhan jenama fesyen, Arunsayfull yang mengetengahkan rekaan-rekaan segar dan lain daripada kebiasaan.

Kini, dua orang pereka muda iaitu Arun Chee, 25, dan Mohd. Saiful Izham, 33, yang mengasaskan jenama tersebut tampil dengan koleksi terbaharu mereka dinamakan sebagai Aristokrat.

Bertepatan dengan nama Aristokrat yang membawa maksud golongan bangsawan, dua pereka itu ingin menyuntik unsur-unsur tersebut tetapi pemakaiannnya disasarkan kepada masyarakat pertengahan.

Menurut Arun, mereka ingin memberi peluang kepada golongan kelas pertengahan yang ingin bergaya seperti bangsawan dengan perincian-perincian mewah pada harga mampu milik.

“Saya membahagikan koleksi Aristokrat ini kepada dua iaitu adibusana dan bespoke.

“Semua koleksi Aristokrat disiapkan dalam masa empat bulan yang merangkumi sembilan rekaan bagi siluet adibusana dan enam bespoke.

Adibusana ialah jahitan baju aras tinggi yang dibuat secara khusus dengan menggunakan bahan-bahan terbaik dan tampak mewah mengikut keinginan si pemakainya.

Bespoke pula baju-baju seumpama kurung yang dinaik taraf kepada pakaian bangsawan yang dibuat secara tempahan khas untuk pelanggan tertentu.

Terang Arun, bagi adibusana, dia mengambil masa yang agak lama untuk membuat pengolahan idea, sulaman dan perincian kerana teknik penghasilannya lebih rumit.

“Koleksi ini khas untuk wanita-wanita yang ingin bergaya berani, kelihatan mewah dan sukakan perhatian.

“Penghasilan adibusana bagi koleksi Aristokrat ini cukup istimewa kerana menggunakan potongan yang di luar kotak pemikiran dan tidak ada dalam rekaan-rekaan fesyen sebelum ini,” tutur anak sulung daripada tiga beradik itu.

Adibusana Aristokrat itu boleh digayakan ke semua majlis seperti perkahwinan, hari lahir dan makan malam.

REKAAN adibusana yang menampilkan gaya mewah seperti pahlawan silam.

Arun memberitahu, pihaknya menggunakan material yang mahal dan diimport dari luar negara seperti India bagi material broket sulam.

Oleh itu, dia dan rakan pereka akan membuat prototaip terlebih dahulu sebelum menjahit di atas kain sebenar.

Pihaknya perlu melakukan beberapa kali eksperimen untuk mendapatkan siluet yang dikehendaki kerana jahitannya sangat halus serta teliti.

Antara fabrik yang digunakan untuk adibusana ialah sutera emporio armani, sutera sifon, sutera satin dan broket sulam.

Harga bagi satu set adibusana bermula RM3,000. Harga tersebut bersesuaian dengan masyarakat pertengahan memandangkan busana seumpama ini jauh lebih mahal pada kebiasaannya.

Sementara itu, bagi koleksi Aristokrat untuk bespoke pula, Arun berkata, pihaknya masih mengekalkan potongan yang biasa kita lihat dan berunsurkan kemelayuan.

“Walaupun menggekalkan potongan kebiasaan tetapi kami menukar ‘wajahnya’ untuk kelihatan baharu, mewah dan lebih segar seperti sulaman serta penambahan perincian-perincian lain. Kami juga menawarkan koleksi yang sesuai digayakan dengan hijab,” katanya yang sudah lapan tahun bergelar pereka fesyen.

Bespoke Aristokrat itu menggunakan fabrik seperti matte satin, renda Perancis, sutera sifon dan satin piano. Harga bagi satu set bespoke bermula RM1,950.

Arun berkata, koleksi Aristokrat sangat istimewa kerana kain yang dijahit terbentuk cantik dan potongan terletak sempurna mengikut bentuk badan.

Kesan jahitan atau benang tidak kelihatan kerana dijahit sangat halus dan teiliti serta ditambah perincian-perincian di bahagian tertentu untuk menonjolkan lagi si pemakai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN