fbpx

Kadar sewa rumah tinggi, elaun rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosli memeriksa perbarisan pada majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di Bentong Pahang hari ini.

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

BENTONG – Ketika ini kadar sewa rumah di Cameron Highlands adalah antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan namun bagi anggota polis yang bertugas di tanah tinggi itu kadar elaun perumahan mereka hanyalah RM300 dan bagi pegawai polis pula adalah kira-kira RM450.

Dengan jumlah kuarters yang kurang memaksa sebahagian daripada anggota berkenaan menyewa di luar dan terpaksa membelanjakan duit sendiri malahan ada yang terpaksa tinggal berjauhan.

Pengarah Jabatan Logistik Dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman berkata, itu adalah merupakan isu yang sedang didepani oleh pasukan keselamatan itu di Cameron Highlands dan bandar-bandar utama yang boleh memberi kesan kepada prestasi pasukan keselamatan itu.

Justeru katanya, selain berusaha memohon pertimbangan meningkatkan lagi kadar elaun pihaknya juga berusaha untuk menambahkan lagi bilangan kuarters polis di seluruh negara.

Beliau memberitahu kelulusan terbaharu pembinaan sebanyak 88 unit kuarters baharu polis di Brinchang Cameron Highlands yang amat kritikal begitu melegakan dan mampu memberi keselesaan kepada pasukan itu.

“Isu ini sudah lama saya bangkitkan semasa jadi Ketua Polis Pahang sebelum ini, faktor utama kadar elaun sewa rumah pegawai-pegawai dan anggota ini rendah jika dibandingkan dengan kadar sewa rumah yang ditetapkan di Cameron Highlands iaitu RM1,000 hingga RM1,500.

“Jadi sudah tentu dengan kadar sewa begitu tinggi tidak mungkin pegawai dan anggota mampu boleh menyewa kediaman di Cameron Highlands, mereka terpaksa mengeluarkan duit sendiri, kalau pegawai mendapat elaun RM500, perlu tambah sebanyak RM1,000 yang sudah tentu memberi kesan kepada pendapatan mereka dalam menyara kehidupan keluarga dan ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan prestasi mereka,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Pahang, Datuk Abd. Jalil Hassan; Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri; Ketua Polis Daerah, Superintendan Yusof Unis dan Pegawai Daerah, Datuk Mohd. Zulkifli Hashim.

Menurutnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador telah memberikan perhatian terhadap isu itu termasuklah pembinaan kuarters di kawasan yang mempunyai kadar sewa rumah yang tinggi seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) baharu akan dibina di Pahang menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi menggantikan IPK lama yang telah beroperasi sejak 1984. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI