fbpx

Selangor pantau rapat kontak kluster Sivagangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (dua dari kanan) menyerahkan replika kod bar kepada wakil PBT pada Majlis Perasmian Kempen Larangan Larangan Meminum Arak Dan Merokok di Kawasan Taman Awam Selangor di Taman Tasik Shah Alam, Shah Alam, hari ini.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memandang serius status seorang jemaah Surau Al-Jannah, Seksyen 23 di sini, yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 berkaitan Kluster Sivagangga di Napoh, Jitra Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemantauan menyeluruh akan dilakukan menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri dalam mendapatkan perkembangan dan maklumat berkaitannya.

“Kita setakat ini masih menunggu maklumat berhubung kontak rapat tersebut.

“Sekiranya individu itu didapati positif Covid-19, kita akan mengambil tindakan susulan lain kelak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Larangan Larangan Meminum Arak Dan Merokok di Kawasan Taman Awam Selangor di Taman Tasik Shah Alam di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Justeru, Amirudin meminta orang ramai supaya terus berwaspada dan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kita perlu ingat bahawa Covid-19 masih ada di negara ini dan segala peraturan ditetapkan wajib dipatuhi bagi mengelak ia terus merebak,” katanya.

Kelmarin, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan arahan penutupan Surau Al-Jannah Jannah serta-merta apabila seorang jemaah dikesan mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 berkaitan Kluster Sivagangga.

Situasi itu mengakibatkan penduduk yang menetap di sekitar surau itu meluahkan rasa bimbang dan mengambil langkah berjaga-jaga terutama memastikan anak-anak mengurangkan aktiviti luar. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI