fbpx
Polis dan Jabatan Kerja Raya melakukan persiapan untuk membuat sekatan jalan raya di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chin Hun di Sanglang, Perlis malam tadi.

3 sekatan jalan raya di Sanglang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

ARAU – Polis Perlis membuat tiga sekatan jalan raya (SJR) di jalan keluar masuk di Sanglang dekat sini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar mulai pukul 10 malam tadi.

Dua kampung yang terlibat adalah Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, lokasi SJR adalah simpang tiga Jalan Padang Keria iaitu antara Jalan Simpang Empat dan Kuala Sanglang.

“Dua lagi dilakukan di  hadapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Sanglang dan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chin Hun iaitu antara sempadan Jalan Kuala Sanglang Perlis dan Kedah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya menempatkan tiga SJK dengan setiap pasukan melibatkan kekuatan 20 anggota.

Sementara itu, tinjauan mendapati kenderaan polis dan Jabatan Kerja Raya yang membawa kon mula hadir ke lokasi SJR kira-kira pukul 9.50 malam semalam.

Turut dilihat di lokasi adalah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada semalam, Kerajaan Negeri Perlis mengumumkan pelaksanaan PKPD secara bersasar di dua buah kampung tersebut bermula pukul 10 malam tadi sehingga 4 September ini.

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Perlis mencatatkan 11 kes positif Covid-19 di kawasan Sanglang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang merupakan ahli keluarga dan tinggal serumah dengan pesakit pertama daripada Kluster Sivagangga di negeri ini.

Susulan itu, seramai 872 orang penduduk di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul diminta membuat saringan Covid-19.- K! ONLINE

POPULAR