fbpx
TUAH ADZMI

Tuah Adzmi akur belum popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERGELAR seorang penyanyi dan komposer dalam usia yang muda bukanlah sesuatu yang mudah bagi jejaka bernama Tuah Adzmi.

Penyanyi yang berusia 22 tahun ini berkata, menulis lagu memerlukan penghayatan yang dalam agar sebuah karya mampu menyentuh jiwa pendengar.

Katanya, dia mengambil pengalaman sendiri serta teman-teman rapat sebagai inspirasi dalam penulisan dengan harapan dapat meruntun hati pendengar.

Selepas Insan Ku Cinta yang diterbitkan pada 2019, terbaharu Tuah Adzmi kembali dengan buah tangan baharunya, Kecewa yang dilancarkan pada Jun lalu.

Tuah memberitahu, Kecewa merupakan sambungan daripada singlenya terdahulu, Insan Ku Cinta.

“Lagu Kecewa lebih banyak bermain dengan emosi.

“Asalnya, lagu ini sudah disiapkan sejak setahun lalu tetapi selepas pihak syarikat rakaman memilihnya untuk single terbaharu, saya perkemaskan lagi lirik dan melodinya,” kata Tuah.

 

TUAH Adzmi akan terus berkarya dengan sebaik mungkin untuk membina nama dalam industri. – MOHD FARIZWAN HASBULLAH

 

Dia juga bersyukur kerana lagu tersebut telah mendapat lebih 500,000 tontonan dalam YouTube sejak dilancarkan.

Berbicara tentang cara penghasilan Kecewa, Tuah memberitahu, dia menghasilkan dahulu melodi sebelum memasukkan lirik yang juga dicipta olehnya sendiri.

“Sepatutnya lagu ini dilancarkan lebih awal tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua perancangan perlu ditunda,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tuah mengakui namanya lambat dikenali berbanding rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Tidak terkilan mahupun kecewa, Tuah percaya semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing dan menganggap perkara itu adalah tempoh untuk memperbaiki kelemahan diri terutama, mutu nyanyian.

“Saya anggap rezeki saya belum betul-betul tiba tetapi saya tetap berusaha untuk menambah-baik segala kekurangan dan mengambil komen-komen peminat sebagai semangat untuk terus bergerak ke hadapan.

“Selain itu, saya anggap menyanyi seperti bisnes, keluar lagu atau produk baharu, barulah orang akan ingat siapa kita.

“Jadi, saya akan terus mengeluarkan lebih banyak lagu sama ada untuk diri sendiri ataupun artis lain,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu optimis.

Berbicara senario mutu nyanyian beberapa pendatang baharu yang sering dikritik peminat, Tuah akui, dia tidak terkecuali berasa takut sekiranya perkara tersebut berlaku terhadap dirinya.

Menurut Tuah, sebagai penyanyi baharu, dia juga tidak dapat lari dengan perasaan takut ‘terkucil’ ketika menyanyi secara siaran langsung.

“Sebenarnya penyanyi mana yang mahu suara mereka ‘terkucil’ ketika menyanyi. Itu sangat memalukan sebenarnya.

“Kita sudah berlatih tetapi masalah yang datang secara tiba-tiba begitu memang tidak dapat dielak.

“Kadangkala, perasaan gemuruh melampau sebelum menyanyi juga boleh menjadi antara faktor masalah terkucil.

“Jadi saya harap, janganlah ada kecaman yang keterlaluan sekiranya terdapat artis mengalami situasi sebegitu, hilang semangat juga jadinya,” ujar Tuah lagi.

Tuah juga turut menjadikan figura terkenal, Datuk M. Nasir dan Azlan The Typewriter sebagai teladan dalam industri seni tanah air.

“Saya sangat mengagumi bakat M. Nasir yang telah menghasilkan ribuan karya hebat, malah lagunya terkenal sehingga ke hari ini.

“Bukan mudah untuk menjadi seperti mereka.

“Azlan punya karakter tersendiri. Saya sedar perjalanan saya masih jauh, justeru saya sangat mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk terus kukuh membina nama menjadi penyanyi yang hebat pada satu hari nanti,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

POPULAR