fbpx
MOHD. Azraie sentiasa membawa dua anaknya ketika mendfaki gunung.

Trend mendaki bersama anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKTIVITI  mendaki gunung sememangnya digemari ramai kerana ia bukan saja menyihatkan badan, malah memberikan kepuasan luar biasa kepada penggemar aktiviti lasak itu.

Kepuasan itu hadir apabila berjaya menawan puncak gunung dengan selamat, selain dapat melihat pemandangan alam yang indah sambil menghirup udara segar di tanah tinggi.

Keseronokan yang ditawarkan dalam aktiviti lasak tersebut telah mendorong wujudnya trend ibu bapa membawa anak-anak mendaki bersama sebagai medium rekreasi bersama keluarga ketika hujung minggu.

Salah seorang pelopor trend berkenaan, Mohd. Azraie Md. Yusof, 37, mula aktif membawa dua anaknya iaitu Ayyar Sufi, 8, dan Nuh Affan, 2, setiap kali mendaki bukit atau gunung sejak lima tahun lalu.

Katanya, dia enggan menjadikan anak-anak sebagai penghalang untuknya melakukan aktiviti luar terutamanya mendaki.

“Saya mula aktif mendaki sejak 2002, selepas dikurniakan dua orang cahaya mata, minat saya tidak pernah pudar. Jadi, saya bawa anak-anak sekali apabila menjalani aktiviti mendaki bukit atau gunung.

“Ternyata, usaha saya memberikan kesan positif, selain dapat berkongsi minat dengan anak-anak, ia juga salah satu medium meluangkan masa dengan mereka pada hujung,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Pilih lokasi

Sehingga kini, lelaki berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu bersama anak-anaknya telah berjaya menawan 10 bukit dan gunung.

Antaranya adalah Bukit Tabur di Melawati, Kuala Lumpur; Bukit Saga (Ampang, Selangor), Bukit Wawasan (Puchong, Selangor), Gunung Jasar (Cameron Highlands, Pahang).

Dalam konteks mendaki bersama anak-anak, lebih-lebih lagi apabila perlu memikul beban (anak), pemilihan lokasi pendakian adalah sangat penting.

Kongsinya, tahap kesukaran trek mestilah yang mudah atau sederhana dan masa diperuntukkan untuk mendaki tidak terlalu lama supaya anak-anak tidak terlalu letih.

“Tidak semua bukit dan gunung sesuai untuk membawa kanak-kanak. Ada trek pendakian yang curam dan berbahaya sehingga boleh mengundang kemalangan ketika mendaki.

“Sebelum memulakan pendakian, saya akan mengkaji serba sedikit tentang lokasi pendakian serta kedudukannya di dalam peta,” ujarnya yang juga seorang guru.

Sewaktu pendakian, Mohd. Azraie sentiasa membawa kit survival yang mengandungi peralatan seperti pisau, pemetik api, kompas serta peti pertolongan cemas.

Dia juga sentiasa memastikan bekalan makanan dan minuman mencukupi, selain barang keperluan anak bongsunya berusia dua tahun seperti lampin pakai buang, susu, tisu basah dan air panas dibawa bersama.

“Kelengkapan anak-anak ini mungkin menambah beban yang dipikul, namun kita tiada pilihan selain membawanya bersama ketika mendaki.

“Kesabaran yang tinggi diperlukan ketika mendaki bersama anak-anak ini. Aspek keselamatan perlulah sentiasa diutamakan,” jelasnya.

Antara cabaran yang dihadapi oleh Mohd. Azraie ketika mendaki bersama anak-anak adalah untuk memastikan mereka berada dalam keadaan selesa dan gembira sepanjang perjalanan.

Katanya, apabila melihat anak-anak keletihan dan mula bosan ketika mendaki, dia akan mencari jalan untuk memberi semangat dan menceriakan mereka.

“Kalau terlalu penat, saya akan berehat seketika dan mengalih perhatian mereka dengan melakukan aktiviti lain seperti menyanyi dan berteka-teki,” katanya.

 

PENGALAMAN mendaki Gunung Nanga Parbat, Pakistan amat mencabar buat Muhammad Khairi kerana membawa bersama anaknya berusia setahun.

 

Menurut seorang lagi pendaki, Muhammad Khairi Zulkifli, 29, cerita tentang Saidina Umar Al-Khattab sendiri mengajak penduduk Syam mengajar anak-anak berenang, memanah dan menunggang kuda yang dikategorikan sebagai aktiviti lasak memberi inspirasi kepadanya untuk membawa anaknya mendaki bersamanya.

Katanya, pada tahun lalu, dia membawa anaknya Aqilah Humaira, 1, mendaki Gunung Nanga Parbat, Pakistan.

“Ia adalah gunung kesembilan tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,126 meter dari permukaan laut.

“Itu pengalaman pertama saya membawa anak mendaki gunung di luar negara. Sebelum ini, saya bawa untuk aktiviti meredah hutan dan berkhemah di dalam negara saja.

“Ketika pendakian itu, saya bersama isteri dan anak berjaya sampai ke paras 4,000 meter dari aras laut sebelum turun kembali,” katanya.

Pendakian tersebut memberi pengalaman baharu kepada lelaki berasal dari Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu yang menganggap ia sangat menyeronokkan, namun memenatkan.

Menurutnya, pendakian selama satu jam itu cukup mencabar apabila perlu membawa anaknya seberat 8 kilogram menggunakan beg galas sambil perlu mengharungi lereng curam dan cuaca sejuk.

“Cabaran yang perlu dihadapi ketika mendaki bersama anak kecil ini adalah kebimbangan berlaku serangan penyakit akut gunung,” ujarnya.

BERITA BERKAITAN