fbpx

Raja Pop Jamal sedia gegar semula pentas AJL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamal Abdillaj

JIKA diimbas kembali sejarah penganjuran pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL), kali terakhir Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah bertanding sekitar 20 tahun lalu menerusi lagu Samrah Mentari. 

Catatan tersebut sekali gus membawa maksud, jika duetnya dengan penyanyi wanita Wany Hasrita berjudul Belenggu Rindu berjaya lolos ke pentas megah berkenaan pada musim akan datang bakal menjadi sesuatu yang sentimental dan ditunggu-tunggu. 

Senang cerita, kemungkinan tersebut menandakan kemunculan semula penyanyi bersuara jantan itu sebagai peserta AJL. Sudah boleh terbayang vokal hebat, penghayatan dan pesona pentas Jamal, 62, mendendangkan lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong nanti dalam suasana AJL serba berbeza berbanding hampir dua dekad lalu.

Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Mohd. Ali turut menitipkan pesanan buat penyanyi generasi sekarang untuk kekal relevan dalam industri muzik tanah air. 

KOSMO!: Apa perkembangan terbaharu Datuk?

JAMAL ABDILLAH: Alhamdulillah, baik. Perkembangan seni tidak banyak kerana masih terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Disebabkan itu juga, konsert  mega sempena empat dekad keberadaan saya dalam industri yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya pada Ogos ini terpaksa ditangguhkan. Mungkin konsert berkenaan ditangguhkan sehingga Ogos tahun hadapan kerana kita pun tidak tahu bila pandemik Covid-19 akan berakhir. 

 

Bagaimana pula dengan kehidupan peribadi?

Alhamdulillah, saya dan isteri bakal menimang cahaya mata lelaki. Kakaknya sudah saya namakan Nur Azura Yamani, sempena filem Azura lakonan saya. Kali ini, saya mahu menamakan anak lelaki ikut nama hero dalam filem itu, Zack. Saya juga sudah mendapat pandangan netizen bagi melengkapkan nama anak lelaki kami yang perlu ada nama Zack. Setakat ini nama pilihan saya ialah El Isaac Yamani. Senang boleh panggil Zack nanti. Jadi, lengkaplah ‘Zack’ dan ‘Azura’ saya.

Baiklah, nampaknya kemunculan anda menerusi lagu Belenggu Rindu diterima baik. Sekiranya, lagu ini lolos ke pentas AJL, sudah pasti menjadi perbualan ramai. Adakah anda sudah bersedia?

Saya sudah berusia 62 tahun, tidak tahu masih mampu atau tidak untuk bertanding. Bagaimanapun, kalau tersenarai ke AJL, itu akan jadi satu perkara yang menyeronokkan. Kalau bertanding, bukan matlamat saya untuk menang pun, cukup dapat menjalankan tugas melakukan persembahan sebaik mungkin sudah  bagus. Saya tidak mahu mengecewakan peminat yang banyak menyokong. Soal ingin menang trofi atau sebaliknya, itu tolak tepi kerana saya sudah melalui fasa itu semua, lama dahulu. 

Maaf bertanya, dalam banyak-banyak artis lelaki zaman sekarang, siapakah yang anda rasa dapat menggantikan tempat anda sebagai Raja Pop Malaysia?

Tidak adil untuk saya menyebut nama artis yang mempunyai potensi ke arah itu. Saya tidak mahu mana-mana artis atau penyanyi berkecil hati andai nama mereka tidak disebut. Saya tidak berada dalam kedudukan untuk memilih siapa yang layak menggantikan tempat saya, namun saya sentiasa mendoakan agar penyanyi generasi sekarang berusaha keras memahat nama mereka bukan hanya untuk tempoh sehari atau setahun dua. Kalau boleh sampai bila-bila. Insya-Allah. 

Sebagai penyanyi berpengalaman yang sudah tiga dekad berkecimpung dalam industri, apa nasihat yang anda boleh berikan buat penyanyi muda?

Menyanyi dengan jujur. Kalau berada di studio rakaman, pastikan kita tahu apa yang kita buat. Buat ulang kaji sebelum datang ke studio. Orang tidak kisah pun kita boleh menyanyi nada tinggi, janji penghayatan ketika menyanyi itu sampai dan berbekas buat pendengar. Dalam dalam studio rakaman, fokus dan berikan yang terbaik kerana peluang itu tidak akan datang selama-lamanya. Esok lusa mungkin kita tidak berpeluang ke studio merakamkan lagu lagi. 

Bagaimana pula anda melihat perkembangan seni anak anda, Yamani Abdillah?

Dia sepatutnya bertanding dalam program realiti, Big Stage musim ini, namun disebabkan PKP masih berjalan, mungkin hasrat itu terpaksa ditangguhkan. Saya selalu beri nasihat agar dia menjaga tingkah laku dan berbaik dengan media kalau betul ingin membina nama dalam bidang ini.Saya mahu dia berdiri dengan nama sendiri bukan kerana dia anak Jamal Abdillah. Kalau betul serius, insya-Allah dia boleh pergi jauh. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI