fbpx

Lelaki ditahan jual gelaran Datuk palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang ditahan polis kerana menipu lelaki berhubung biasiswa, anugerah Datuk dan kereta lelong dari Istana Pahang.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

KLANG – Perbuatan jahat seorang lelaki yang mendakwa mampu mendapatkan biasiswa, anugerah Datuk dan kereta lelong daripada Istana Pahang mengundang padah apabila dicekup polis, semalam.

Lelaki berusia 37 tahun yang turut mengaku dirinya seorang Datuk itu ditahan di sekitar Masai, Johor pada pukul 9.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, penahanan itu susulan laporan seorang konsultan keselamatan yang mengalami kerugian sebanyak RM65,000 akibat diperdaya suspek sejak 10 Mei lalu.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Datuk dari Pahang sebelum memaklumkan mampu membantu mendapatkan biasiswa daripada sebuah persatuan untuk menampung pengajian dua anak lelakinya.

“Mangsa kemudianya diminta membuat pembayaran berjumlah RM2,500 ke dalam akaun diberikan suspek dan dijanjikan menerima surat tawaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, suspek dikatakan terus menghubungi mangsa beberapa hari selepas itu dengan menawarkan gelaran Datuk dan kereta lelong daripada istana Pahang.

Nurulhuda berkata, mangsa yang terpedaya kemudiannya membuat pembayaran secara berperingkat berjumlah RM62,500 ke dalam beberapa akaun suspek sebelum menyedari telah ditipu dan membuat laporan polis.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek yang menetap di Melaka itu memiliki 24 rekod jenayah melibatkan kes penipuan.

“Polis turut merampas enam kad ATM bank, sekotak kad perniagaan tertera nama Datuk dan
dua telefon bimbit,” ujarnya.

Jelas beliau, suspek kini direman tiga hari sehingga Jumaat depan bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI