fbpx

Pemilihan jemaah haji secara online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN jemaah haji yang tiba di kota suci Mekah hujung minggu lalu. – FACEBOOK HARAMAIN

RIYADH – Kementerian Haji dan Umrah memilih ekspatriat dari 160 negara yang menetap di Arab Saudi melalui pemilihan online untuk mengerjakan haji tahun ini.

Sehingga 10,000 orang yang menetap di Arab Saudi akan mengerjakan haji, jumlah kecil berbanding 2.5 juta jemaah haji pada tahun lalu.

Proses pemilihan kali ini juga menyaksikan banyak permohonan untuk mengerjakan haji ditolak.

Pihak berkuasa Arab Saudi pada awalnya mengumumkan bahawa seramai 1,000 jemaah yang tinggal di negara itu akan dibenarkan mengerjakan haji tetapi menurut media Arab Saudi, seramai 10,000 orang mendapat kelulusan untuk menunaikan ibadat tersebut.

Kementerian haji juga menyatakan bahawa 70 peratus jemaah haji tahun ini terdiri daripada warga asing.

Media asing pula dilarang daripada membuat liputan pada musim haji 2020 ketika Riyadh mengetatkan akses ke kota suci Mekah serta melaksanakan sekatan kesihatan yang ketat bagi mencegah penularan wabak Covid-19 sepanjang lima hari ibadat tersebut berlangsung mulai Rabu ini.

Arab Saudi telah merekodkan lebih 260,000 kes Covid-19, manakala bilangan jangkitan global melepasi angka 16 juta kes kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, jemaah haji mula memasuki Tanah Haram hujung minggu lalu dengan mereka diwajibkan melalui pengesanan suhu badan dan menjalani proses kuarantin.

Mereka juga diberikan kit kemudahan termasuk batu-batu disteril untuk kegunaan melontar jamrah, cecair pembasmi kuman, pelitup muka, sejadah dan kain ihram.

Jemaah haji diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum tiba di Mekah dan perlu menjalani kuarantin sekali lagi selepas ibadat haji selesai.

Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah menerima banyak pertanyaan di laman Twitter daripada pemohon-pemohon yang kecewa selepas permohonan mereka ditolak.

Bagaimanapun, Menteri Haji, Mohammad Benten menegaskan bahawa proses pemilihan online yang dilaksanakan adalah telus. Menurutnya kepada stesen televisyen kerajaan, Al-Arabiya, faktor kesihatan adalah penentu dalam pemilihan tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan bilangan permohonan yang diterima, manakala jemaah yang kecewa mengadu bahawa proses pemilihan kerajaan tidak digariskan dengan jelas.

Menurut sebahagian lagi pemohon, tiada penjelasan diberikan berhubung permohonan yang ditolak.

Antara jemaah haji terpilih tahun ini ialah ekspatriat Nigeria yang menetap di Riyadh, Nasser.
Lelaki itu tidak dapat menahan kegembiraannya selepas menerima apa yang dianggap sebagai ‘tiket emas’ untuk menunaikan haji.

“Sukar untuk saya menggambarkan kegembiraan ini,” katanya sebelum tiba di Mekah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI