fbpx

Main peteri ubati penyakit misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesakit yang sebelum ini hanya terbaring lemah, bangun menari ketika kaedah perubatan main peteri dilakukan.

SETELAH lengkap semua persediaan, Pok Halim (bukan nama sebenar) yang berperanan sebagai Tok Teri pada malam itu terus bersila panggung di dalam bangsal yang dibina khas dan kemudian mula membaca mantera.

Pada masa sama, beberapa orang lain yang hadir bersama Tok Teri mengambil tempat masing-masing.

Selesai mantera dibaca, acara buka panggung dilakukan dan alat-alat muzik seperti rebab, gendang, gong dan canang dimainkan.
Setelah panggung dibuka, Mak Jah yang sebelum ini terlantar di atas katil lebih dua bulan kerana penyakit misteri diusung dan dibawa turun ke dalam bangsal tersebut bagi menjalani rawatan dengan menggunakan kaedah main peteri.

Ia antara salah satu rawatan perubatan tradisional yang selalu diamalkan terutamanya bagi masyarakat Kelantan pada zaman dahulu.

Upacara main peteri dikendalikan seorang bomoh dikenali sebagai Tok Teri dan dibantu Tok Minduk dan dimainkan selama satu hingga tiga malam.

Kaedah perubatan ini sudah lama wujud untuk mengubat penyakit yang disebabkan oleh rasukan makhluk halus, hilang semangat dan gangguan angin iaitu kehendak yang tidak dipenuhi.

Ia melibatkan komunikasi dua hala antara alam nyata dan dunia ghaib.

Setelah beberapa fasa perubatan dilaksanakan, Tok Teri yang bagaikan dirasuk oleh semangat makhluk halus bertanyakan kepada Mak Jah apakah yang dia perlukan untuk melepaskan tekanan atau ‘angin’ yang ada dalam dirinya.

Dalam keadaan tidak bermaya, Mak Jah meminta agar alat muzik dimainkan dan meminta anak cucunya masuk menari sebagai meraikan suasana malam itu.

Mak Jah yang pada mulanya terbaring turut bangun dan menari pada malam itu.

Setelah selesai rawatan main peteri pada keesokan harinya, Mak Jah sihat seperti biasa dan boleh berjalan-jalan di luar kawasan rumah.

Dikatakan Mak Jah pada zaman mudanya seorang pengamal drama tari Mak Yong dan begitu dipuja oleh orang pada zaman itu.

Dia dikatakan pernah berdamping dengan makhluk ghaib ketika zaman kegemilangannya.

 

Tok Teri menjadi perantara untuk membuang makhluk halus yang berdampingan dengan pesakit.

 

Sewaktu Tok Teri membaca mantera semangat halus akan meresap ke dalam tubuhnya. Pada waktu itu, Tok Minduk akan menyoal makhluk halus tersebut bagi mencari punca penyakit.

Pelbagai cara digunakan oleh Tok Teri bagi mencari simptom penyakit melalui mantera, memujuk kuasa spiritual yang dikatakan menjadi penyebab seseorang itu jatuh sakit.

Menurut seorang pengkaji kesenian terapi tradisional, Lim Swee Tin, sejarah main peteri ini dikatakan sudah lahir sejak zaman sebelum pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di wilayah Hulu Kelantan yang berpusat di Kuala Krai.

Katanya, main peteri menjadi satu kaedah pengubatan lama sebelum munculnya perubatan moden.

“Tok Teri dan Tok Minduk merupakan individu penting dalam kaedah rawatan main peteri. Mereka dibantu beberapa orang lain yang berperanan bermain alat muzik.

“Tok Teri bertindak sebagai pengantara dan Tok Minduk pula berperanan dalam membuat keputusan cara yang sesuai untuk memulihkan pesakit,” katanya.

Kata Swee Tin, sebelum upacara main peteri ini dilakukan, wakil keluarga pesakit akan berbincang dengan wakil atau ketua main peteri bagi mengundang mereka untuk melakukan kaedah perubatan itu.

Katanya, setelah angin pesakit dikenal pasti, proses untuk mengubatinya akan menjadi lebih mudah dan cepat.

Tok Minduk akan menganalisis simptom pesakit berdasarkan simbolik yang dipersembahkan oleh Tok Teri.

Akhir sekali, dalam persembahan main peteri adalah upacara ‘pelepas’ yang akan dilakukan oleh Tok Teri. Upacara itu bagi membuang makhluk alam ghaib yang berdamping dengan pesakit.

Kaedah rawatan main peteri pada masa ini semakin terpinggir dan hampir dilupakan masyarakat selaras dengan perkembangan perubatan moden yang semakin maju.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI