fbpx

Angkara dendam, kereta kakak ipar hangus dibakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perodua Kenari milik guru terbabit yang terbakar 90 peratus di kawasan kebun sawit Sendayan, Kampung Temenin, Kota Tinggi dipercayai akibat perbuatan khianat dilakukan bekas adik iparnya. Foto IHSAN BOMBA

Oleh MASTURAH SURADI

KOTA TINGGI – Sebuah kereta Perodua Kenari milik seorang guru ditemui hangus di kawasan kebun sawit Sendayan, Kampung Temenin di sini semalam dipercayai akibat perbuatan khianat dilakukan bekas adik iparnya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, siasatan polis mendapati punca suspek membakar kereta adalah kerana konflik dendam terhadap kakak iparnya yang pernah menghinanya.

Jelasnya, kereta berkenaan merupakan milik wanita berusia 33 tahun itu yang telah memberikan kereta tersebut untuk kegunaan adiknya yang telah bercerai dengan suspek sejak Januari 2019.

“Mangsa telah dimaklumkan keretanya itu telah dibakar semasa bekas adik ipar membawa kereta tersebut ke rumah bekas ibu mentuanya untuk menguruskan anak-anak.

“Suspek telah membawa kereta milik mangsa ke sebuah ladang kepala sawit dan telah membakarnya. Bagaimanapun tiada sebarang saksi yang menyaksikan kejadian tersebut.

“Bertindak atas laporan, kira-kira pukul 11.45 malam semalam sepasukan anggota dari Balai Polis Batu Ampat telah menahan suspek lelaki berusia 33 tahun di Kampung Bukit Lintang,”katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Hussin berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes jenayah dibawah Seksyen 323, Seksyen 342 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek juga negatif dadah.

“Bantuan daripada forensik bomba dibuat untuk mengenal pasti punca kebakaran pada jam 10 pagi tadi. Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Khianat Dengan Api),”katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI