fbpx
Pemandangan dari tembok jambatan Sungai Selangor, Kuala Kubu Bharu, Selangor yang mempesona turut menjadi daya tarikan untuk orang ramai mencuba aktiviti ini.

Adrenalin terjun buai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERASAAN gementar mula menyelubungi lelaki berusia 29 tahun itu saat mengatur langkah menuju ke arah tembok jambatan Sungai Selangor di Kuala Kubu Bharu. Degupan jantung Mohamad Khairi Dzulkiffly semakin kencang apabila diminta berdiri tegak di atas tembok jambatan setinggi 60 meter itu.

Rasa gayat semakin menguasai apabila melihat hamparan batu sungai yang besar serta pohon menghijau di bawah jambatan.

Meskipun begitu, Mohamad Khairi tetap meneruskan niatnya untuk melakukan terjunan dari jambatan tersebut bagi merasai pengalaman melakukan rope swing (terjunan buai)selepas memikirkan keselamatannya telah terjamin.

Rope swing adalah aktiviti terjunan tempat tinggi yang agak baharu di negara ini. Terjunan dilakukan dengan ikatan pada badan. Selepas melakukan terjunan, penerjun akan terhayun ke depan dan ke belakang seperti buaian.

“Ini kali pertama saya mencuba aksi rope swing. Jadi, rasa gayat dan gementar memang ada terutamanya selepas tengok batu-batu besar di bawah. Saya kemudian mendapat keyakinan selepas berpuas hati dengan semua peralatan keselamatan yang terpasang pada badan,” katanya kepada Horizon baru-baru ini.

 

Penerjun akan terbuai ke depan dan belakang selepas melakukan terjunan.

Rope swing di KKB dikelolakan oleh sebuah syarikat penyediaan perkhidmatan sukan lasak tempatan, Rentas Adventures. Aktiviti yang mula ditawarkan pada 2016 itu adalah yang pertama seumpanya di negara ini.

Mohamad Khairi memberitahu, dia menjadi peserta paling berat pernah mencuba rope swing di KKB dengan berat badan 112 kilogram. Katanya, berat badan bukanlah penghalang kepada lelaki berasal dari Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu untuk mencuba aktiviti lasak termasuk rope swing.

Trend rope swing bukanlah sesuatu yang asing, ia telah lama diperkenalkan di luar negara terutamanya New Zealand (yang dikenali sebagai Nevis Swing). Berbeza dengan bungee jumping (terjunan bungee), rope swing mempunyai sedikit perbezaan kerana badan penerjun menghayun ke depan dan belakang seperti buaian selepas terjun dari platform.

Terjunan bungee pula akan menyebabkan penerjun melantun dalam keadaan kepala ke atas dan badan ke bawah kerana tali diikat pada kaki.

Pengasas Rentas Adventure, Mohd. Shafiq Azmi berkata, idea untuk menyediakan rope swing diperoleh sewaktu lawatan ke Pokhara, Nepal yang terkenal dengan aktiviti ekstrem termasuk terjunan bungee.

Walaupun telah beberapa kali berkunjung ke negara tersebut, namun dia tidak pernah berkesempatan mencuba aktiviti itu kerana permintaan terlalu ramai.

Dek perasaan kecewa, Mohd. Hafiz memasang impian untuk melakukan rope swing sendiri di negara ini dengan memilih Kuala Kubu Bharu sebagai lokasi. Dia memilih jambatan yang terletak di jalan menghubungkan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser itu sebagai lokasi rope swing disebabkan faktor ketinggian dan pemandangan sekitar.

“Pada mulanya, saya buat hanya untuk kepuasan sendiri sebelum melihat potensi komersial memandangkan tidak ada perkhidmatan rope swing di negara ini.

“Meskipun aktiviti baharu, namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutamanya daripada peminat sukan ekstrem. Jadi, kami terpaksa hadkan kepada 40 orang sehari,” jelasnya.

Ada beberapa teknik terjunan yang boleh digunakan oleh penerjun antaranya skydive (tangan terbuka), pendekar penyu (leher masuk ke dalam) dan basikal (kaki mengayuh).

Mereka yang berusia 15 tahun hingga 60 tahun sahaja boleh melakukan aktiviti rope swing dengan berat tidak melebihi 120kg.

Mohd. Shafiq memaklumkan, pihaknya sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan dengan memastikan semua peralatan yang digunakan berada dalam keadaan baik.

Tegasnya, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Persatuan Kursus Cabaran Malaysia yang bertanggungjawab menyediakan garis panduan keselamatan dan pemantauan berkala.

Orang ramai boleh melakukan aktiviti rope swing pada harga bermula RM210. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi instagram rentas_adventure.

BERITA BERKAITAN