fbpx

Kosmo! teruskan perjuangan dunia kewartawanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

 

JAMDI NASIR,TIMBALAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

 

HARI ini merupakan hari ketiga akhbar kompak Kosmo! kem­bali menemui pembaca selepas beberapa bu­lan terpaksa dihentikan operasi berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Semoga akhbar ini yang pernah memegang rekod akhbar berbahasa Melayu dengan jualan paling tinggi di Malaysia akan terus diterima baik oleh pembaca setia Kosmo!.

Suatu yang tidak boleh dinafikan, dunia persuratkhabaran berhadapan cabaran sejak dahulu lagi. Berdasar sejarah, minat pembelian akhbar mula tergugat dengan kemunculan televisyen sekitar tahun 1950-an apabila orang ramai mempunyai alternatif mendapatkan berita.

Bagaimanapun, cabaran itu tidak menghalang perkembangan dunia persuratkhabaran yang mencapai kemuncak kegemilangan bertahun-tahun selepas itu sebelum kemunculan internet pada 1990-an.

Ledakan maklumat selepas internet menjadi medium perhu­bungan pantas dan murah memberi tekanan kepada industri cetak khususnya dari aspek pengiklanan.

Hari ini, bukan sahaja Kosmo! terkesan dengan kepesatan internet, tetapi semua akhbar di seluruh dunia. Akhbar The New York Times misalnya pernah mempunyai antara 20,000 hingga 30,000 wartawan semasa zaman gemilang, tetapi kini terpaksa dikurangkan kepada kira-kira 1,700 orang.

Itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh pemain indus­­tri persuratkhabaran seperti Kosmo! serta lain-lain akhbar apabila operasi terpaksa dikecilkan bagi memastikan dunia kewartawanan terus hidup sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan sosial negara.

Melihat kepada akhbar ternama dunia seperti Metro, The Sun dan Daily Mail di United Kingdom serta The Wall Street Journal, The New York Times dan New York Post yang masih bertahan di Amerika Syarikat (AS), penulis yakin akhbar bercetak masih mempunyai pengikut tersendiri.

Malah, dua akhbar di Jepun iaitu Yomiuri Shimbun dan Asahi Shimbun serta USA Today di AS yang memegang rekod akhbar paling tinggi edaran di dunia memperlihatkan betapa rakyat di negara itu terus memberi sokongan padu kepada penerbitan akhbar harian.

Sokongan rakyat di Jepun dan AS menye­bab­kan industri persuratkhabaran di kedua-dua negara maju itu kekal berdaya tahan meskipun gelombang dan ledakan maklumat media sosial melanda begitu hebat sekali.

Suatu yang sering dilupakan ialah industri persuratkhaba­ran merupakan media yang masih berpegang teguh kepada etika kewartawanan berbanding media sosial.

Meskipun berdepan cabaran, bagi kami bidang kewartawanan bukan sekadar mengenai model perniagaan dan operasi, tetapi kualiti, etika dan kepercayaan.

Hal ini kerana, setiap ‘berita’ yang kami sampaikan adalah jantung kepada bidang kewartawanan itu sendiri. Tanpa jantung, dunia pelaporan akan mati. Malah, mendiang Henry Ward Beecher, seorang aktivis masyarakat berkata: “Akhbar lebih berharga kepada manusia berban­ding jutaan emas yang dimiliki.”

Terima kasih kepada pembaca setia kerana menyokong perjuangan kami dan terus bersama Kosmo!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI