fbpx

Surat khabar, media baharu perlu seiring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
Mohd. Rasdan Ahmad

 

Dunia kewartawanan ketika ini berada dalam tempoh getir kerana berhadapan dengan pelbagai cabaran selepas dibayangi gelombang teknologi komunikasi dan maklumat.

Ia bukan hanya dirasai di Malaysia, malah kesan teknologi tanpa batasan ini turut memberi kesan kepada syarikat surat khabar di seluruh dunia.

Ketika ini, seluruh masyarakat dunia begitu mudah dan pantas dalam menerima maklumat dan ia hanya berada di hujung jari.

Kewujudan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram turut memberi impak kerana mampu menghubungkan manusia dari seluruh pelosok dunia.

Mereka bukan sahaja boleh berkomunikasi, malah berkongsi gambar, berita, video serta membuat pengiklanan.

Revolusi ini secara tidak langsung memberikan kesan buruk kepada bidang kewartawanan terutama di Malaysia apabila ramai pemain industri dalam bidang ini seperti wartawan, jurugambar, pereka grafik dan pengiklan terpaksa berhenti atau diberhentikan selepas syarikat gulung tikar atau berlakunya pengurangan pekerja.

Dalam konteks ini, wujud ke­perluan perubahan dalam bidang pengajian kewartawanan jika mahu kekal relevan dengan perubahan semasa.

Bagi Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Chai Ming Hock, media tradisional terutamanya akhbar tidak perlu bersaing dengan media baharu tetapi perlu saling bergantung antara satu sama lain.

Jelasnya, media tradisional dan media baharu sebenar­nya mempunyai kekuatan yang tersendiri serta mempunyai pe­ranan masing-masing.

“Media baharu mempunyai kekuatan mereka pada audio, vi­sual serta kepantasan dari sudut laporan, manakala akhbar pula kekuatannya terletak pada teks seperti rencana dan analisis, info grafik yang memberi maklumat kepada pembaca serta peranan gambar yang pelbagai.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan baru-baru ini, kepantasan yang dibawa oleh media baharu memang tidak dapat disangkal, namun info grafik serta teks laporan daripada akhbar sebenarnya memain peranan kepada masyarakat untuk lebih memahami situasi semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, penganalisis media, Dr. Norman Bakri berkata, dalam konteks negara Malaysia, banyak sumber berita yang di­sebarkan menerusi media sosial mendatangkan kegusaran kerana kesahihan faktanya meragukan.

Katanya, sikap masyarakat yang cepat mempercayai sesuatu berita tanpa membuat rujukan boleh mengucar-kacirkan persepsi masyarakat khususnya berkaitan dasar-dasar negara.

“Kehadiran berita menerusi media sosial wajar diraikan, namun ia tidak membataskan masyarakat untuk menjadikan surat khabar sebagai rujukan,” katanya.

Katanya, data Institut Ke­wartawanan Reuters menerusi Laporan Pemberitaan Digital 2016 mendapati 51 peratus pengguna telah menggunakan media sosial sebagai sumber berita.

“Fenomena yang melibatkan platform media sosial sebagai sumber berita umpamanya Facebook perlu diperakui dan dikaji dengan mendalam.

“Di Malaysia sahaja, menurut data kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, jumlah pengguna internet bagi tahun 2020 adalah seramai 17 juta, manakala pengguna Facebook pula 13 juta orang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI