fbpx
HAFIZH berjaya mengutip mata pertama pada perlumbaan Moto2 selepas meraih kedudukan keenam pada saingan GP Sepanyol di Litar Jerez semalam.

Hafizh Syahrin pamer belang di GP Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah seolah-olah melepaskan geram apabila berjaya menamatkan saingan di tempat keenam pada perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol di Litar Jerez semalam.

Keputusan itu menyaksikan pelumba pasukan Angel Nieto tersebut mengutip mata pertama musim ini apabila sekadar menamatkan perlumbaan pembukaan di Qatar pada Mac lalu di kedudukan ke-19.

Meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-15, Hafizh menampilkan tunggangan konsisten sepanjang perlumbaan apabila memintas seorang demi seorang pelumba di depan.

Pelumba kelahiran Ampang itu berkata, walaupun agak sukar pada awal perlumbaan, namun ketenangan yang ditunjukkan berjaya membantunya untuk melakukan pecutan dan menamatkan perlumbaan dalam kelompok enam teratas.

“Saya bersyukur dapat tamatkan perlumbaan di tempat keenam, satu perlumbaan yang agak sukar kerana cuaca panas. Bagaimanapun, kerja keras yang dilakukan sepanjang tempoh berkurung membuahkan hasil.

“Hari ini (semalam) saya faham dan berjaya kawal tayar selain mempercayai kemampuan jentera. Sudah pasti saya akan cuba tampilkan aksi lebih baik pada perlumbaan seterusnya,” kata Hafizh.

Sebagai rekod, keputusan semalam adalah pencapaian terbaik Hafizh pada GP Sepanyol dalam kelas Moto2 memandangkan dia belum pernah menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 teratas sebelum ini.

Pada perlumbaan tersebut, pelumba Sky Racing Team, Luca Marini muncul juara, manakala pelumba Red Bull KTM Ajo, Tetsu­ta Nagashima di kedudukan ke­dua diikuti rakan sepasukan­nya, Jorge Martin di tempat ketiga. – K! ONLINE

POPULAR