fbpx

Denda RM11,365 jika kunjungi Tanah Suci tanpa permit haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG Islam menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram, Mekah baru-baru ini. – AFP

RIYADH – Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi akan mengenakan denda sebanyak 10,000 riyal (RM11,365) terhadap orang Islam yang didapati memasuki kota suci Mekah tanpa permit sepanjang musim haji tahun ini, lapor portal berita Alarabiya.net.

Pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadat haji diadakan tetapi dengan bilangan jemaah terhad susulan langkah berjaga-jaga disebabkan pandemik Covid-19.

Kementerian sama berkata dalam satu kenyataan bahawa denda tesebut berkuat kuasa dari 19 Julai hingga 2 Ogos depan bersamaan 28 Zulkaedah hingga 12 Zulhijjah.

Denda tersebut akan digandakan kepada 20,000 riyal (RM22,730) terhadap mana-mana individu yang mengulangi kesalahan sama.

“Kementerian Dalam Negeri meminta semua rakyat dan penduduk Arab Saudi supaya mematuhi arahan pada musim haji tahun ini. Anggota-anggota penguat kuasa akan menjalankan tugas di semua jalan raya dan laluan masuk ke Tanah Suci untuk mengawal kemasukan ke kawasan itu dalam tempoh ditetapkan,” demikian menurut kenyataan yang disiarkan Saudi Press Agency (SPA).

Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan bilangan jemaah yang dibenarkan mengerjakan haji tahun ini ialah 10,000 orang.

Seramai 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia berpeluang menunaikan ibadat haji pada tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, tarikh akhir bagi jemaah haji bukan warganegara Arab Saudi mengemukakan permohonan untuk mengerjakan ibadat haji tahun ini adalah pada Jumaat lepas. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN