fbpx
ILLI HAZIQAH tekun mengikuti pengajian secara online yang dibuat oleh pensyarahnya di Mesir dari kediamannya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur selepas pulang ke tanah air April lalu.

Bersengkang mata ikuti kuliah maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK Covid-19 telah merubah gaya hidup masyarakat di seluruh dunia dalam menjalankan aktiviti harian. Perubahan yang dikenali sebagai norma baharu itu perlu dipatuhi bagi memutuskan rantaian penyakit berjangkit tersebut dalam persekitaran.

Salah satu sektor yang perlu berubah mengikut keadaan semasa itu adalah pendidikan termasuk di institusi pengajian tinggi (IPT). Jika sebelum ini, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlangsung dalam dewan atau bilik kuliah, namun kini ia dilakukan di depan komputer atau gajet secara online.

Ia dibuat selepas Majlis Keselamatan Negara menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya aktiviti PdP dilaksanakan secara online sehingga 31 Disember depan. PdP secara online itu bukan sahaja dipraktikkan oleh IPT-IPT tempatan, bahkan juga di universiti negara-negara lain. Justeru, para penuntut Malaysia di luar negara yang pulang ke tanah air turut perlu mengikuti pengajian secara online.

Mahasiswi Fakulti Perubatan, Universiti Alexanderia, Mesir, Illi Haziqah Hisham, 22, yang pulang ke Malaysia memaklumkan, meskipun berjauhan dari kampus, dia tetap menjalani pengajian secara online bagi mengelakkan semesternya tertangguh.

 

Illi Haziqah adalah antara ribuan penuntut di Mesir yang dibenarkan pulang oleh kerajaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada April lalu.

Dia yang kini menetap di Bukit Jalil, Kuala Lumpur menambah, sekiranya semester ditangguhkan, ia akan menyebabkan waktu graduasi dianjak ke hadapan.

“Saya berharap semester tidak ditangguhkan dan pembelajaran diteruskan meskipun melalui online. Saya bimbang jika ditangguhkan, ia akan membebankan ibu bapa saya dari segi kos.

“Kos setiap semester dianggarkan sekitar RM35,000 termasuk yuran, tiket penerbangan pergi dan balik serta sewa rumah,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Menurut anak ketiga daripada empat adik-beradik itu, pembelajaran secara online sedikit mencabar kerana masalah perbezaan zon waktu antara Malaysia dan Mesir.

Katanya, dia terpaksa bersengkang mata pada lewat malam dan awal pagi untuk mengikuti kelas atau menjawab peperiksaan yang dibuat oleh pensyarah.

“Saya perlu mengubah masa tidur kerana waktu di Malaysia dan Mesir berbeza hampir enam jam. Jika di sini malam, di sana masih lagi siang,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia berharap agar pihak universiti dapat meneruskan pembelajaran online lebih lama bagi membolehkannya menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.

Berbeza pula kisahnya dengan pelajar IPT tempatan, Mohd. Riyona Hidayat, 21. Pelajar tahun dua jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Malaya (UM) itu berada di kolej kediaman kampus, tetapi perlu mengikuti pengajian secara online.

Penguasaan IT

Di sebalik kerinduan terhadap suasana kuliah, Mohd. Riyona berpendapat, keputusan KPT menyarankan PdP secara online sebagai satu langkah tepat kerana dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Ini pengalaman pertama saya belajar menerusi online. Saya tidak ada masalah mengenai cara pembelajaran baharu ini.
“Diakui pada peringkat awal, aktiviti PdP berlangsung dalam keadaan sedikit kucar-kacir, namun lama-kelamaan ia bertambah baik dan pembelajaran juga kian menarik,” katanya.

Meskipun ketika ini Mohd. Riyona berada di kolej kediaman di UM, namun dia tetap perlu mengikuti kelas secara online.

Setiap hari, dia mengikuti kelas secara online selama dua hingga tiga jam menggunakan Google Classroom dan Zoom menerusi komputer riba.

MOHD. RIYONA

“Menerusi pengajian online, saya tidak perlu bersesak-sesak di dalam bas dan dewan kuliah. Jadi, saya ada lebih masa untuk mengulang kaji pelajaran di bilik,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd. Riyona meluahkan rasa bimbang kerana penerimaan dan kefahaman belajar melalui online dirasakan tidak sebaik di dalam dewan kuliah.

Katanya, ia berlaku disebabkan masalah seperti kelajuan internet yang tidak stabil, sekali gus menyebabkan aktiviti penstriman terganggu.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan UM, Dr. Hanee Farzana Hizaddin, 35, memberitahu, pandemik Covid-19 telah meningkatkan penguasaan warga kampus dalam kemahiran teknologi maklumat (IT).

Katanya, dia selaku pensyarah juga terpaksa meningkatkan kemahiran itu bagi memastikan para pelajar mengikuti PdP meskipun capaian internet mereka kurang memuaskan.

“Tidak semua pelajar ada capaian internet yang baik di kediaman masing-masing khususnya di kawasan kampung dan pedalaman. Jadi, saya perlu mempelbagaikan kemahiran teknologi maklumat termasuk merakam video untuk dimuat naik ke platform YouTube.

“Saya memilih platform YouTube kerana para pelajar boleh menonton video berkenaan pada bila-bila masa berbanding pembelajaran secara terus,” katanya.
Hanee Farzana menambah, dia juga memanfaatkan sepenuhnya platform e-pembelajaran yang telah dibangunkan oleh pihak universiti.

Jelasnya, platform tersebut sangat membantu kerana mempunyai pelbagai kemudahan yang diperlukan para pensyarah untuk aktiviti pengajaran.

“Kemudahan e-pembelajaran ini menarik kerana pensyarah boleh memuat naik video, bahan bacaan, kuiz dan soalan peperiksaan untuk diakses oleh pelajar,” katanya.

BERITA BERKAITAN