fbpx

LRT3 siap lebih 33 peratus, selesai 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAJUDDIN (tengah) bersama Muhammad Nizam (kiri) ketika meninjau pemasangan struktur blok jejambat 'U-through girder” di tapas pembinaan LRT 3, Glenmarie, Shah Alam. Foto SYARAFIQ ABD. SAMAD

ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) kini sudah mencapai lebih 33 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung Februari 2024.

Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, projek berimpak tinggi itu sedang berjalan lancar dengan memfokuskan penggunaan struktur blok jejambat ‘U-through girder’.

“Blok berukuran 20 dan 30 meter seunit itu julung kali digunakan di Malaysia dengan komponen pembinaannya secara pra-bina dan menyumbang kepada kos lebih efisien selain mempercepatkan tempoh binaan.

“Sejumlah 158 unit sudah dibina setakat ini termasuk 24 daripadanya yang dipasang pada jajaran projek merangkumi keseluruhan penggunaan sebanyak 2,060 blok berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dua U-through girder di Glenmarie di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias dan Timbalan Ketua Projeknya, Mohd. Lokman Hamid.

Kata Tajuddin, pihaknya berharap projek membabitkan jajaran sepanjang 37.8 kilometer (km) dan 20 stesen itu memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk di sekitar Lembah Klang kelak.

“Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di Lebuh Raya Persekutuan, ia dapat meningkatkan lagi penggunaan pengangkutan awam di kalangan rakyat sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada wujud isu pengambilan tanah atau masalah teknikal, beliau menegaskan, perkara seumpama itu tidak berlaku dan projek berkenaan berjalan sebaik mungkin walaupun sedikit terjejas akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Projek LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang itu dirasmikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Ogos 2016.

LRT3 menjadi projek prasarana pertama menerima lima bintang penarafan infrastruktur mampan (INFRASTAR) daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI