fbpx
ISKANDAR HALIM (kanan) meninjau harga ayam dalam satu operasi pemeriksaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lapan peniaga ayam kena tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Lapan kertas siasatan dibuka ke atas peniaga ayam yang disyaki melakukan kesalahan mencatut susulan hasil pemeriksaan yang dilaksanakan pada 17 hingga 30 Jun lalu.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, semua kertas siasatan tersebut sedang dalam siasatan lanjut untuk melengkapkan dokumen pembuktian sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP.

“Lapan kes ini melibatkan empat peruncit di Pasar Awam Melaka dan empat pemborong ayam iaitu satu di Melaka manakala, tiga lagi di Kuala Lumpur.

“Semua kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pemantauan harga ayam semasa pada bulan ini mendapati, harga runcit ayam standard mula menunjukkan trend penurunan di pasar basah dan pasar raya bermula 1 hingga 17 Julai.

“Trend ini selari dengan penurunan harga ladang ayam hidup yang menunjukkan penurunan harga pada minggu kedua Julai antara RM4.50 hingga RM5.40 per kilogram (kg) daripada minggu pertama RM5.20 per kg hingga RM6.10 per kg pada Julai.

“Harga ayam standard pada Julai adalah antara RM8 per kg hingga RM8.50 per kg dan telah menurun pada minggu kedua dengan harga RM7.60 per kg hingga RM7.90 per kg,” katanya.

Iskandar Halim berkata, KPDNHEP akan terus memantau bekalan dan harga ayam semasa di pasaran supaya pengguna dapat memperolehi ayam dengan harga berpatutan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan pemeriksaan berhubung kenaikan harga ayam adalah ekoran daripada aduan diterima daripada orang ramai pada 15 Jun lalu.

Katanya, pemantauan dilaksanakan di bawah perundangan AKHAP 2011 untuk mengenal pasti peringkat rantaian pembekalan yang memulakan punca kenaikan tersebut serta mengesan sekiranya wujud aktiviti pencatutan.

Sebelum ini, KPDNHEP mengesahkan terdapat kenaikan harga ayam selepas tamat tempoh skim Harga Maksimum Musim Perayaan antara 4 Jun hingga 19 Jun lepas dengan kenaikan antara 10 sen hingga RM1.50 di peringkat peruncit.

Ketika itu, ayam dijual mencecah harga RM10 sekilogram berbanding harga ayam standard RM7.50 sekilogram. -K! ONLINE

POPULAR