MUMBAI, India – Bintang legenda Bollywood , Amitabh Bachchan dan anak lelakinya, Abhishek disahkan dijangkiti Covid-19 dan dimasukkan ke Hospital Nanavati di bandar Mumbai Sabtu lepas.
Mereka mengalami simptom ringan dan berada dalam keadaan baik manakala menantu Amitabh, Aishwarya Rai bersama cucunya, Aaradhya turut positif virus itu sehari kemudian.
“Saya disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke hospital. Sesiapa sahaja yang pernah berhubung rapat dengan saya dalam tempoh 10 hari lalu diminta menjalani ujian saringan,” kata Amitabh,77, menerusi ciapan akaun Twitternya.

Sementara itu, Abhishek,44, pula berkata, isteri dan anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda jangkitan.
“Aishwarya dan Aaradhya disahkan positif Covid-19. Mereka menjalani kuarantin di rumah.
“Ahli keluarga lain termasuk ibu saya negatif saringan virus tersebut,” ujarnya.
Aishwarya, 46, menjuarai pertandingan ratu cantik Miss World pada tahun 1994 dan membuat kemunculan di layar perak lewat tahun 1990-an.
Angka jangkitan koronavirus di India meningkat kepada 820,916 kes pada Sabtu lepas iaitu ketiga tertinggi di dunia bersama 22,123 kematian. – AFP